661 anak warga TLDM terima bantuan persekolahan

LocalPolitics
30 Sep 2025 • 4:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seramai 661 anak anggota keluarga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima kelengkapan sekolah baharu daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena lawatan kerjanya ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada Sabtu.

Bantuan itu disampaikan di bawah program Jelajah Wira Madani Negeri Sabah sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka.

“Inisiatif ini adalah tanda terima kasih kepada barisan hadapan kita khususnya lelaki dan wanita berbaju seragam atas kesetiaan dan pengorbanan mereka.

“Selain bantuan persekolahan Bantuan Kecemasan Bencana ATM turut diberikan kepada 15 anggota yang terjejas banjir di negeri ini.

“Ini menunjukkan selain kesiapsiagaan mempertahankan negara kebajikan anggota dan keluarga turut menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Pada majlis sama Mohamed Khaled menyerahkan replika cek bernilai RM25,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Mohammad Rozalli Rambangan bagi menyokong keperluan pendidikan anak warga TLDM.

Lawatan itu turut menyaksikan sumbangan besar kepada Tabung Kecemasan Bencana Alam ATM.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama anak syarikatnya menyalurkan RM400,000 manakala Trans Resources Corporation Sdn Bhd menyumbang RM20,000.

Beliau menyatakan peranan LTAT bukan sekadar memberi dividen dan simpanan malah mesti disalurkan kepada program kebajikan seperti Sekolah Angkat Madani, Kem Santuni Madani serta bantuan bencana.

Aspek inovasi turut diberi perhatian apabila Mohamed Khaled meninjau Projek Hidroponik Karbon Sifar Pintar hasil kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kos RM55,000.

Projek melibatkan 10 ahli Bakat TLDM itu dijangka menghasilkan tuaian pertama dalam enam bulan selain menjana pendapatan sampingan sehingga RM900 sebulan.

Mohamed Khaled turut meninjau Ibu Pejabat Pemerintahan Kapal Selam termasuk hangar, jeti synchrolift, bengkel dan jeti operasi bagi menilai tahap persediaan aset pertahanan bawah air negara.

Beliau menegaskan kepentingan strategik Sabah yang bersempadan dengan Filipina, Indonesia, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

“Pangkalan TLDM Kota Kinabalu bukan sahaja penting untuk kedaulatan negara malah menjadi pusat pemerintahan Armada Timur.

“Kita akan terus mengutamakan keselamatan Sabah,” katanya.