SHAH ALAM - Majoriti responden memilih pendekatan mengekalkan kuota subsidi BUDI95 meskipun dengan sedikit kenaikan harga pada RM2.05 seliter, berbanding mengurangkan kuota pada harga RM1.99 seliter susulan krisis bekalan global yang semakin meruncing.
Secara keseluruhan, sebanyak 69 peratus responden memilih mengekalkan kuota subsidi pada harga RM2.05 seliter (B), berbanding hanya 31 peratus yang menyokong pengurangan kuota dengan harga kekal RM1.99 seliter (A).
Di Facebook, sebanyak 20 undi daripada 24 undi atau 84 peratus menyokong pilihan B, manakala empat undi atau 16 peratus memilih pilihan A.
Platform X menunjukkan sebanyak lapan undi daripada 12 undi atau 67 peratus menyokong pilihan B, berbanding empat undi atau 33 peratus memilih pilihan A.
Instagram merekodkan 69 undi dengan sebanyak 81 peratus responden memilih untuk mengekalkan kuota dengan harga lebih tinggi, berbanding 19 peratus yang memilih pengurangan kuota.
Undian di platform YouTube pula merekodkan sebanyak 164 undi daripada 256 undi atau 64 peratus menyokong pilihan B, manakala 92 undi atau 36 peratus memilih pilihan A.
Bagaimanapun, keputusan undian di Threads menunjukkan saingan seimbang atau sama rata apabila masing-masing memperoleh 50 peratus daripada keseluruhan 34 undi.
Secara keseluruhan, dapatan itu menunjukkan majoriti responden cenderung memilih kuota dikekalkan walaupun pada harga lebih enam sen berbanding kuota dikurangkan pada harga lebih rendah.
Tinjauan tersebut dijalankan susulan persoalan berhubung langkah paling wajar diambil kerajaan sekiranya subsidi BUDI95 perlu disesuaikan dalam keadaan krisis bekalan global yang semakin meruncing.





