69 warga asing dan dua pegawai sumber manusia ditahan Imigresen Johor

29 Aug 2026 • 4:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 69 warga asing dan dua pegawai sumber manusia ditahan Imigresen Johor
Warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut
Image from: 69 warga asing dan dua pegawai sumber manusia ditahan Imigresen Johor
Dokumen perjalanan warga asing diperiksa bagi mengesahkan keberadaan mereka di Malaysia

KULAI - Seramai 69 warga asing dan dua pegawai sumber manusia warga tempatan di sebuah kilang ditahan menerusi serbuan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Johor di beberapa premis sekitar daerah ini pada Jumaat, jam 2.30 petang.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, warga asing yang ditahan melibatkan 47 lelaki dan 22 perempuan berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun.

Menurutnya, operasi yang dijalankan di kilang elektronik, pusat cucian kenderaan dan rumah kedai itu hasil risikan serta aduan berikutan premis-premis tersebut disyaki dijadikan tempat tinggal warga asing.

**media[3630206]**

“Tangkapan lelaki melibatkan 15 orang dari Myanmar, 13 dari Nepal, tujuh dari Bangladesh, lima warga Pakistan, empat warga India dan tiga warga Indonesia, manakala bagi perempuan membabitkan 17 warga Myanmar serta lima warga Indonesia.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Operasi itu turut memeriksa status dokumen perjalanan warga asing, ketulenan pas dan permit serta pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan kepada majikan.

Imigresen turut mengeluarkan tujuh keping saman Borang 29 kepada saksi bagi membantu siasatan.

“Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan lanjut,” katanya.

Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, termasuk majikan atau pihak yang didapati sengaja melindungi, menggaji atau bersubahat dengan pendatang asing tanpa izin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved