7,286 titik panas dikesan di Kalimantan, Sarawak berisiko jerebu berterusan - NREB

LocalEnvironment
20 Aug 2026 • 12:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 7,286 titik panas dikesan di Kalimantan, Sarawak berisiko jerebu berterusan - NREB
Sebanyak sembilan kawasan berada dalam kategori IPU tidak sihat setakat jam 8 pagi pada Khamis.

KUCHING - Sarawak berkemungkinan mengalami jerebu berterusan pada beberapa hari yang akan datang, sekiranya pembakaran biojisim semakin meningkat di luar persempadanan Sarawak, menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) negeri.

NREB dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan rantau negara akan menerima tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya memandangkan Malaysia sedang berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang dijangkakan berakhir pada September.

"Keadaan ini berpotensi menyebabkan kemungkinan jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara ambien di wilayah Sarawak," menurut kenyataan itu hari ini.

NREB memaklumkan berdasarkan laporan Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) bagi tempoh 1 Ogos hingga semalam, sebanyak 148 titik panas telah dikesan di Sarawak dan sejumlah 7,286 titik panas telah dikesan di Kalimantan, Indonesia.

"Asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak. Keadaan titik panas dan jerebu berkemungkinan terus meningkat di kawasan mudah terbakar dan mengalami keadaan kering berpanjangan dengan risiko berlakunya jerebu rentas sempadan," menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, kualiti udara di Sarawak menunjukkan trend peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sejak 1 Ogos lepas.

Setakat jam 8 pagi pada Khamis, sembilan kawasan berada dalam kategori tidak sihat (IPU 101-200), dengan Serian dan Lubok Antu mencatat bacaan IPU tertinggi, iaitu 185, diikuti Kuching, Lundu, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, dan Tebedu.

"Menurut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sebaik sahaja IPU mencecah 200,” menurut kenyataan itu. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved