Jerebu Semakin Parah, 6 Kawasan Di Sarawak Catat Kualiti Udara Tidak Sihat 

LocalEnvironment
20 Aug 2026 • 12:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jerebu Semakin Parah, 6 Kawasan Di Sarawak Catat Kualiti Udara Tidak Sihat 

KUCHING - Jerebu di beberapa kawasan di Sarawak semakin membimbangkan, apabila enam kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, susulan peningkatan asap dan pencemaran partikel yang turut menjejaskan jarak penglihatan.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi di seluruh negara iaitu 187 pada jam 9 pagi, diikuti Kuching dengan bacaan 182 dan Sri Aman (174).

Samarahan pula mencatatkan bacaan 165, manakala Sarikei dan Sibu masing-masing merekodkan 153 dan 123, sekali gus meletakkan kesemua enam kawasan berkenaan dalam kategori kualiti udara tidak sihat.

Kemerosotan kualiti udara itu dipercayai berkait dengan kebakaran hutan berskala besar di Kalimantan.

Asap dan bahan pencemar daripada kebakaran berkenaan dipercayai dibawa merentasi sempadan sebelum menyelubungi beberapa kawasan di Sarawak.

Tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira jam 9.30 pagi mendapati jarak penglihatan di sekitar kawasan landasan berkurangan dengan ketara apabila jerebu menyelubungi lapangan terbang serta kawasan sekitarnya.

Keadaan sama turut menyebabkan pandangan di beberapa lokasi kelihatan kabur, khususnya pada sebelah pagi, susulan peningkatan kepekatan asap dan bahan pencemar di udara.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Di seluruh negara, sebanyak 50 kawasan lain merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, manakala 12 kawasan masih berada dalam kategori baik.

Bacaan IPU dikemas kini setiap jam berdasarkan data yang dikumpulkan daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara.

Keadaan jerebu yang semakin buruk turut mendorong gesaan supaya golongan rentan, termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, mengurangkan aktiviti luar sepanjang keadaan itu berterusan.

Pihak berkuasa dijangka terus memantau perkembangan kualiti udara serta jarak penglihatan di kawasan yang terjejas, terutama berikutan keadaan yang semakin merosot boleh memberi kesan terhadap kesihatan awam dan aspek keselamatan. - Getaran, 20 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved