7-Eleven percepat usaha peralihan kepada format 7-Cafe, kata Maybank IB

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2025 • 11:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

7-Eleven percepat usaha peralihan kepada format 7-Cafe, kata Maybank IB

image is not available

26/08/2025 - 11:17

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd sedang mempercepatkan usaha peralihan kepada format kedai 7-Cafe bagi berdepan cabaran peningkatan kos operasi dalam jangka masa pendek, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Katanya, terdapat beberapa aspek penting perlu diberikan perhatian sebelum syarikat itu dapat melihat pertumbuhan hasil positif.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu perlu memberi penekanan kepada penambahbaikan campuran produk, perbelanjaan pengiklanan dan promosi serta peningkatan kesedaran pengguna terhadap penawaran makanan baharu.

"Ketiga-tiga faktor ini dilihat penting dalam mendorong permintaan yang mampan dan meningkatkan margin keuntungan dalam persekitaran pasaran yang kompetitif," katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), 7-Eleven mencatatkan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sebanyak 3.5% tahun ke tahun, disokong oleh peningkatan purata jualan per kedai dan saiz pembelian.

Syarikat juga telah menambah 58 kedai baharu berbanding tahun sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,651 buah, dengan format 7-Cafe kini mewakili kira-kira 25% daripada keseluruhan rangkaian.

Bagaimanapun, Maybank IB berkata, pengurusan kumpulan mengakui sumbangan makanan segarmasih belum mencapai potensi penuh.

Katanya, penawaran produk panas dan makanan kaunter masih dalam peringkat pembangunan, manakala persepsi jenama terhadap kemampuan 7-Eleven sebagai penyedia makanan berkualiti masih perlu dipertingkat.

"Dalam usaha mengekalkan daya saing, 7-Eleven turut mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak melaksanakan pelarasan harga dalam masa terdekat, meskipun berdepan tekanan kos akibat format 7-Cafe yang lebih intensif, termasuk isu pembaziran makanan yang lebih tinggi," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.60 sesaham.- DagangNews.com

standard