Keuntungan Greatech pada 1HFY25 selaras jangkaan pasaran disokong permintaan e-mobiliti dan semikonduktor, kata penganalisis

TechnologyBusiness & Finance
25 Aug 2025 • 11:04 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan Greatech pada 1HFY25 selaras jangkaan pasaran disokong permintaan e-mobiliti dan semikonduktor, kata penganalisis

image is not available

25/08/2025 - 11:04

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Keuntungan Greatech Technology Berhad pada separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25) adalah selaras dengan jangkaan pasaran disokong peningkatan permintaan dalam segmen e-mobiliti dan semikonduktor.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, selepas menolak item luar biasa sebanyak RM13 juta, terutamanya kerugian tukaran asing belum direalisasi, keuntungan Greatech berjumlah RM76 juta, turun 9% secara tahunan (YoY).

Katanya, angka itu mewakili 45% daripada unjuran pendapatan setahun penuh, menjadikannya berada dalam jangkaan penganalisis dan konsensus pasaran.

"Hasil keseluruhan bagi tempoh tersebut meningkat 14% kepada RM408 juta, didorong sumbangan kukuh daripada sistem pengeluaran barisan e-mobiliti dan semikonduktor.

"Namun begitu, margin EBIT mengecil sebanyak 6.6 mata peratusan kepada 17.9%, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kos bahan mentah kerana kebanyakan projek berada di peringkat pemasangan, yang secara amnya melibatkan kos permulaan lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidik mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.28 sesaham.

Sementara itu Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, pertumbuhan kumpulan itu bagaimanapun diimbangi penurunan hasil dalam segmen solar dan perubatan, yang masing-masing menyusut sebanyak 73.2% dan 39.4% pada suku kedua.

Katanya, segmen e-mobiliti kini mengatasi solar sebagai penyumbang terbesar kepada hasil, menyumbang 60% daripada keseluruhan jualan suku tersebut.

Bagi 2QFY25, Greatech mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 13%, daripada RM205.9 juta kepada RM232.7 juta, dipacu oleh lonjakan lima kali ganda dalam e-mobiliti dan pertumbuhan lebih 100% dalam segmen semikonduktor.

Sementara itu, margin kasar teras menurun kepada 28.5% daripada 33.3%, disebabkan peringkat pemasangan awal projek yang melibatkan kos permulaan lebih tinggi.

"Dengan buku tempahan bernilai RM607 juta setakat Ogos 2025 dan sasaran untuk memperoleh RM700 juta lagi dalam tempahan baharu menjelang akhir tahun, Greatech kekal optimis terhadap pertumbuhan masa hadapan, terutamanya melalui usaha diversifikasi produk dan peluasan ke pasaran tenaga boleh diperbaharui serta elektronik pengguna," katanya.

Firma penyelidik mengekalkan saranan “neutral” dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.80 sesaham.- DagangNews.com

standard