
Daya tarikan seseorang lelaki bukan semata-mata bergantung pada rupa paras atau fizikal, malah turut dipengaruhi oleh keperibadian, sikap, keyakinan diri dan cara dia membawa diri.
Penampilan yang kemas, kebersihan diri, bahasa badan serta cara membawa diri turut memainkan peranan dalam membentuk tanggapan pertama.
Menjadi lebih menarik tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar atau perubahan penampilan secara drastik, sebaliknya boleh dicapai dengan sentuhan sederhana yang sesuai.
Justeru, beberapa tabiat mudah yang dilakukan secara konsisten mampu meningkatkan keyakinan diri dan membuatkan seseorang kelihatan lebih kemas serta berkarisma.
1 Pastikan penampilan sentiasa kemas
Pakaian yang bersih, tidak berkedut dan sesuai dengan bentuk tubuh boleh memberikan perubahan ketara terhadap penampilan. Pilih pakaian mengikut kesesuaian tempat dan acara, selain memastikan warna serta padanan baju, seluar dan kasut kelihatan serasi.
Tidak perlu mengejar jenama mahal kerana pakaian yang sederhana, tetapi kemas dan sesuai dipakai mampu memberikan imej lebih baik. Perkara kecil seperti memastikan kasut bersih dan pakaian digosok juga tidak seharusnya dipandang remeh.
2 Jaga kebersihan diri
Pastikan tubuh sentiasa bersih, rambut terurus dan kuku dipotong dengan kemas. Bagi lelaki yang mempunyai misai atau janggut, pastikan ia dirapikan mengikut gaya yang sesuai.
Penggunaan wangian secara sederhana juga boleh melengkapkan penampilan. Anda disarankan menggunakan haruman yang segar dan tidak terlalu kuat kerana mampu memberikan kesan positif apabila berinteraksi dengan orang lain.

3 Pilih gaya rambut bersesuaian
Rambut memainkan peranan penting dalam membentuk keseluruhan penampilan dan disebabkan itu pastikan pilih potongan rambut bersesuaian dengan bentuk wajah, gaya hidup dan imej yang ingin ditampilkan.
Tidak kira sama anda memilih gaya pendek, klasik atau lebih moden, perkara paling penting adalah memastikan rambut sentiasa bersih dan terurus.
4 Perbaiki postur dan bahasa badan
Penampilan bukan hanya mengenai apa yang dipakai, tetapi turut merangkumi cara seseorang membawa diri.
Berdiri dan berjalan dengan postur yang baik, bahu dalam keadaan selesa serta kepala tegak boleh memberikan gambaran lebih yakin.
Ketika berbual, lakukan hubungan mata secara sopan dan elakkan terlalu kerap melihat telefon kerana bahasa badan yang tenang dan terbuka membantu seseorang kelihatan lebih yakin serta mudah didekati.
5 Jaga kecergasan dan gaya hidup
Penampilan yang baik turut bermula daripada penjagaan diri secara menyeluruh. Oleh itu, amalkan aktiviti fizikal secara konsisten, mendapatkan tidur yang mencukupi serta mengamalkan pemakanan seimbang.
Tidak semestinya perlu mempunyai bentuk badan tertentu.
Sebaliknya, kecergasan membantu seseorang berasa lebih bertenaga dan yakin ketika menjalani aktiviti harian.
6 Bercakap dengan yakin dan sopan
Cara berkomunikasi turut mempengaruhi daya tarikan seseorang. Bercakap dengan jelas, tidak terlalu tergesa-gesa dan memberikan ruang kepada orang lain untuk bercakap menunjukkan keyakinan serta kematangan.
Cuba jadi pendengar yang baik dan tidak perlu mendominasi setiap perbualan kerana seseorang yang mampu mendengar, memberi respons dengan baik dan menghormati pandangan orang lain lazimnya lebih disenangi.
7 Bina keyakinan tanpa berlebihan
Kenali kelebihan dan kekurangan diri tanpa terlalu membandingkan diri dengan orang lain. Keyakinan tidak bermaksud perlu menunjukkan diri sebagai paling hebat atau sentiasa menjadi perhatian.
Sebaliknya, keyakinan yang ditonjolkan dapat dilihat melalui cara seseorang menghormati diri sendiri, menjaga batas pergaulan, bersikap jujur dan melayan orang lain dengan baik.
The post 7 tip kelihatan menarik, biarpun tidak kacak appeared first on Kosmo Online.






