Keputusan tidak opt-out LINDUNG 24 Jam ternyata berbaloi

LocalPersonal Finance
6 Sep 2026 • 4:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keputusan tidak opt-out LINDUNG 24 Jam ternyata berbaloi

PETALING JAYA: Keputusan untuk tidak menarik diri daripada Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Skim LINDUNG 24 Jam ternyata membawa manfaat buat seorang pekerja Karangkraf selepas dia mengalami kemalangan ketika beriadah di luar waktu bekerja.

Pengurus Unit Pemasaran dan Pengiklanan Sinar Harian, Mohd. Shafiq Affandy berkata, pada mulanya, dia hampir memilih tidak menyertai (opt-out) daripada skim berkenaan susulan caruman tambahan 0.75 peratus kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk meneruskan caruman tersebut dan ternyata keputusan itu disifatkan berbaloi selepas dirinya terjatuh basikal ketika beriadah pada 2 Ogos lalu.

“Ketika itu saya cuba mengelak daripada melanggar seorang kanak-kanak sebelum terjatuh daripada basikal.

“Apabila saya kembali bekerja, seorang rakan mencadangkan supaya membuat tuntutan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam. Pada mulanya saya sendiri tidak tahu tuntutan itu boleh dibuat,” katanya kepada pemberita mengenai caruman skim terbabit.

Menurut Mohd. Shafiq, proses tuntutan juga tidak rumit apabila Bahagian Sumber Manusia syarikatnya membantu membuat permohonan termasuk menyediakan pautan ke laman web PERKESO.

Katanya, tidak sampai seminggu selepas permohonan dibuat, dia dimaklumkan layak menerima faedah di bawah skim tersebut dan menjadi pekerja pertama Karangkraf yang menerima manfaat berkenaan.

“Difahamkan jumlah tuntutan bergantung kepada tahap kecederaan pencarum.

“Alhamdulillah, ada juga faedah diterima walaupun tidak mencecah ribuan ringgit, namun ia dapat meringankan beban,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman tersebut mengubah pandangannya terhadap kepentingan perlindungan sosial yang turut meliputi kemalangan di luar waktu bekerja.

Katanya, pekerja perlu melihat manfaat perlindungan yang bakal diterima dan bukan semata-mata jumlah tambahan caruman yang perlu dibayar.

“Skim LINDUNG 24 Jam sangat bagus dan manfaatnya tidak perlu diragui. Pencarum sepatutnya meneruskan caruman meskipun terdapat penambahan peratusan kerana perlu melihat manfaat yang bakal diperoleh,” katanya.

Mulai 1 Jun lalu, lebih sembilan juta pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan menerusi LINDUNG 24 Jam PERKESO.

Skim berkenaan diperkenalkan bagi memberi perlindungan kepada pekerja sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja termasuk ketika cuti umum, hujung minggu dan hari kelepasan am.

Ia merupakan antara usaha kerajaan memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada pekerja sektor formal di Malaysia. – UTUSAN 

The post Keputusan tidak opt-out LINDUNG 24 Jam ternyata berbaloi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved