70,000 pelajar sertai PTRS, 20,000 dari luar Selangor

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 1:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

70,000 pelajar sertai PTRS, 20,000 dari luar Selangor

SHAH ALAM, 24 NOV: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) merekodkan kira-kira 70,000 pendaftaran, termasuk 20,000 peserta dari luar negeri ini yang mengikuti modul pembelajaran program berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pendaftaran menerusi platform pembelajaran dalam talian (e-PTRS) lebih tinggi berbanding penyertaan pelajar yang mengikuti kelas secara fizikal.

“Seramai 70,000 orang mengikuti PTRS dan sebahagiannya bukan peserta yang mengikuti kelas.

“Selain itu, terdapat 20,000 peserta dari luar Selangor, dari Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang mengikuti modul PTRS kerana sistem kita dibuka kepada orang awam atau semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh berhubung PTRS pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri menerusi penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan serta keberkesanan program itu.

Katanya, kerjasama berkenaan merangkumi pembangunan modul pembelajaran hingga penilaian prestasi pelajar bagi membolehkan pencapaian peserta PTRS dibandingkan dengan mereka yang tidak menyertai program itu.

Mengulas peluang kepada pelajar yang tidak layak mendapat sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata kira-kira 92 peratus pelajar layak memperoleh sijil, manakala baki kurang lapan peratus boleh dikenal pasti untuk diberikan peluang seterusnya.

Katanya, antara pilihan yang tersedia ialah menduduki Kertas Julai bagi memperbaiki keputusan, selain mengikuti latihan teknikal dan vokasional menerusi kolej komuniti, Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC), GiatMARA serta institusi lain.

“Setakat ini, kita tidak mempunyai program khusus untuk mereka yang gagal dan untuk memberikan peluang kedua. Tetapi ekosistem yang sedia ada saya rasa mencukupi.

“Kadang-kadang, masalahnya bukan pada peluang yang ada, sebaliknya berkaitan dengan kemahuan pelajar untuk mengambil bahagian,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved