![Image from: [VIDEO] Beratur pukul 5 pagi demi Bella, Syed Saddiq](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/kenduri-rakyat-bella-astillah-syed-saddiq-1024x768.jpeg)
KOTA KINABALU – Seramai 10,000 pengunjung dijangka menghadiri Kenduri Rakyat pasangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan selebriti, Bella Astillah di Padang Merdeka di sini.
Walaupun kaunter pendaftaran bagi orang awam hanya dibuka pada pukul 9 pagi, namun difahamkan ada pengunjung mula berbaris seawal 5 pagi.
Pelbagai gerai makanan turut disediakan secara percuma bagi pengunjung sementara menanti ketibaan pasangan pengantin yang dijangka pukul 12.30 tengah hari melangsungkan persandingan di pelamin utama.
Syed Saddiq berkata, walaupun cuaca ketika sesi raptai penuh hujan lebat dan ribut petir namun keadaan berkenaan bukan halangan buat dirinya dan Bella bersama-sama meraikan hari bahagia mereka bersama rakyat Sabah.
”Sebelum ini pun, ada jerebu ketika Kenduri Rakyat di Muar. Jadi, walaupun hari ini hujan, ia bukanlah satu isu,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq berkata, beliau berasa gembira kerana dapat meraikan saat bahagia mereka bersama rakyat Sabah yang juga tempat kelahiran Bella.
Sementara itu, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, dia mahu momen istimewa itu dikongsi dengan menonjolkan kebanggaan terhadap budaya tradisional pelbagai kaum di negeri ini.
”Sabah mempunyai lebih 70 etnik. Jadi, rasanya tidak salah untuk saya menunjukkan kebanggaan terhadap keunikan ini. Keluarga saya juga akan memakai pakaian tradisional negeri kita pada Kenduri Rakyat. Ada yang memakai pakaian Kadayan, Kadazan, Bajau Samah dan lain-lain.
”Bagaimanapun, bukanlah bermakna pengunjung diwajibkan hadir ke majlis kami dengan memakai pakaian tradisional. Tidak perlu risau jika tidak mempunyai pakaian tradisional. Mereka boleh datang mengikut kesesuaian dan keselesaan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Beratur pukul 5 pagi demi Bella, Syed Saddiq appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Kenduri rakyat BASS macam Pesta Kaamatan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-31-at-5.37.35-PM-1024x538.jpeg)



