KOTA BHARU - Penagih dan penyalahgunaan melibatkan dadah sintetik di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan apabila menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di seluruh negara.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, perkembangan itu selari dengan ancaman trend terbaharu di mana sindiket kini dikesan mencampurkan bahan terlarang ke dalam cecair rokok elektronik atau vape.
"Dadah jenis sintetik termasuk magic mushroom, ketamin dan furanyl fentanyl. AADK akan mengambil pendekatan proaktif dalam menangani perkara ini," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Program Sua Mesra AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini.
Menurut beliau, ketika ini AADK sedang membuat kajian untuk menggubah Dadar Dadah Negara yang baharu.
Bagaimanapun katanya, AADK telah melantik pihak universiti untuk melakukan kajian berkenaan.
Ujar Roslin, satu hala tuju baharu akan ada pada penghubung tahun ini untuk perancangan lima tahun akan datang dalam menangani isu dadah.
"Ia merangkumi program dan bagaimana kerajaan perlu menangani masalah penagihan dadah dan bagaimana trend global dadah," katanya.






