TANAH MERAH - Polis Kelantan menumpaskan sindiket penipuan dalam talian berkonsepkan 'love scam' yang menyasarkan lelaki pencen warga Singapura selepas menyerbu sebuah resort di daerah ini yang dijadikan pusat operasi panggilan haram pada Rabu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu membawa kepada penahanan 58 individu terdiri daripada 53 lelaki dan lima wanita terdiri daripada warga tempatan serta China, Myanmar, India dan Pakistan.
Menurut beliau, mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 30 an itu terdiri daripada 49 lelaki warga China, seorang lelaki tempatan, masing-masing seorang lelaki warga Myanmar, India dan Pakistan.
"Turut ditahan ialah seorang wanita tempatan, seorang wanita warga Myanmar serta tiga wanita warga China.
"Selain itu, kami juga merampas puluhan peralatan komunikasi serta komputer bernilai RM179,000," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini pada Rabu.
Mohd Yusoff berkata, operasi khas terbabit dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hasil risikan berhubung kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan warga Singapura.
Ujarnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat operasi sindiket yang menggunakan platform dalam talian bagi memperdaya emosi serta kepercayaan mangsa untuk mendapatkan keuntungan kewangan.
Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira sebulan lalu dan dikendalikan tiga penyelia bersama 55 operator yang bekerja setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Tambahnya, mereka turut menggunakan sekurang-kurangnya enam unit router bagi memastikan capaian internet berkelajuan tinggi serta sukar dikesan.
"Kami turut merampas 46 unit komputer, lima komputer riba, 118 telefon bimbit pelbagai jenis dan lapan unit router bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan semua orang yang disyaki telah dibawa ke Mahkamah Majistret Tanah Merah bagi permohonan reman," katanya.






