KOTA BHARU - Seorang bapa tiri berdepan lima tuduhan merogol anak perempuan berusia di bawah umur di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis antara Februari 2024 hingga Mac 2025.
Tertuduh berusia 29 tahun yang bekerja sebagai buruh itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga kelima, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tiri perempuan berusia 16 tahun dua bulan ketika kejadian pertama yang mana perhubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama.
Perbuatan didakwa dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Kuala Krai di antara jam 2 pagi hingga 3 pagi pada tarikh antara 25 Februari 2024 sehingga Mac 2025.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dihukum sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu Syazalia tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana kes itu serius yang membabitkan mangsa yang juga anak tiri.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.





