700 berentap pada Dart Terbuka Sabah

26 Apr 2025 • 8:44 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: GL Oh

Kota Kinabalu: Kira-kira 700 peserta dari seluruh Malaysia termasuk Brunei mengambil bahagian dalam kejohanan Dart Terbuka Sabah Antarabangsa yang bermula di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu pada Jumaat.

Pertandingan tiga hari dengan hadiah wang tunai berjumlah RM23,300 itu diadakan sempena Ulang Tahun ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu.

Tiga kategori dipertandingkan dan hadiah pemenang utama RM8,000 menjadi milik divisyen premier dalam acara berpasukan. Tempat kedua akan menerima RM3,000 dan RM1,500 masing-masing untuk pasukan yang tewas di separuh akhir manakala empat pasukan yang kandas di suku akhir menerima RM700.

Johan divisyen kedua akan membawa pulang RM1,000 dan RM500 kepada naib juara sambil RM250 masing-masing untuk dua pasukan yang kalah di separuh akhir.

Bagi kategori individu, johan perseorangan lelaki akan dianugerahkan RM1,000 dengan naib juara mendapat RM500 diikuti RM250 untuk dua pemain yang kalah di separuh akhir dan RM150 setiap seorang untuk peserta yang kandas di suku akhir.

Pemenang kategori wanita juga akan menerima RM1,000, dengan naib juara akan mendapat RM400, RM150 untuk dua pemain yang tewas di separuh akhir dan RM50 masing-masing untuk empat pemain yang kalah di suku akhir.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Mayor Datuk Seri Sabin Samitah, diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Robert Lipon.

Sabin dalam ucapannya berkata, kehadiran peserta dari pelbagai pelusuk negeri dan negara bukan sahaja mencerminkan semangat kesukanan sejagat, malah menjadikan kejohanan itu sebagai medium terbaik untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat tempatan dan antarabangsa.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak penganjur atas usaha mereka menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja memperkasakan sukan dart, malah mengharumkan nama Kota Kinabalu sebagai bandar yang aktif, berdaya saing dan mesra pengunjung.

“Sebagai Mayor, saya berbesar hati mengalu-alukan kedatangan semua peserta dan tetamu ke Bandaraya Kota Kinabalu, bandar yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan layanan mesra penduduknya,” katanya.

Sabin turut menyeru semua peserta supaya merebut peluang menerokai tempat menarik di sekitar bandar ini.

“Ini termasuk Anjung Kinabalu yang terkenal dengan kraftangan dan makanan laut segar, matahari terbenam yang menakjubkan di Pantai Tanjung Aru, atau pemandangan indah dari Balai Cerap Signal Hill.

“Tidak lupa, peserta juga boleh menikmati juadah di Pasar Malam Api-Api selain mengunjungi Pasar Ahad Jalan Gaya.

“Sambutan ulang tahun ke-25 ini sememangnya mencerminkan pencapaian kami sebagai sebuah bandar raya yang terus maju dan mampan,” katanya.