
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memuji komitmen Kumpulan Kibing yang akan menyediakan 700 peluang pekerjaan tambahan kepada rakyat Sabah, menerusi kempen pengambilan pekerja terbaharunya bermula Mei ini.
Beliau berkata, pengambilan baharu itu akan menambah kepada 1,625 warga Sabah yang kini sudah bekerja dalam pelbagai jawatan pengurusan, kejuruteraan, teknikal dan operasi di bawah Kumpulan Kibing.
“Jumlah ini mewakili lebih 83 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Kibing. Ini adalah satu perkembangan positif kerana ia bukan sahaja memperkasa komuniti tempatan, tetapi juga menyemai semangat kemakmuran bersama. Tahniah dan terima kasih,” katanya semasa Majlis Sambutan Aidilfitri bersama kakitangan Kibing di kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Jumaat.
Terdahulu, Hajiji dimaklumkan bahawa pengambilan pekerja akan dijalankan dengan kerjasama Sekretariat SMJ dari 13 hingga 23 Mei di pejabat daerah Ranau, Tuaran, Beaufort, Papar, Kota Kinabalu dan Penampang.
“Saya juga ingin menekankan pentingnya mengutamakan pengambilan pekerja tempatan Sabah serta menggesa semua pemain industri agar bukan sahaja menggaji anak Sabah, tetapi juga melabur dalam latihan dan pembangunan mereka.
“Usaha kolektif ini penting untuk memastikan tenaga kerja kita memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh industri,” katanya.
Menurut Hajiji, ia merupakan detik bersejarah apabila Kumpulan Kibing memulakan pembinaan kilang pembuatan kaca solar bernilai RM2.5 bilion pada 2022.
“Hari ini, kehadiran Kumpulan Kibing bukan sahaja pembawa perubahan kepada Sabah, tetapi juga membuktikan kejayaan Kerajaan Negeri dalam menarik projek berimpak tinggi untuk kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada November lalu, Kumpulan Kibing melabur dalam projek pembinaan kilang kaca solar baharu bernilai RM7.2 bilion di Kimanis.
“Sehingga kini, impak positif daripada kehadiran Kibing sudah kelihatan, dengan lebih RM50 juta nilai kontrak diberikan kepada syarikat tempatan sejak projek pembinaan bermula.
“Kita yakin Kumpulan Kibing akan terus berkembang maju dan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang Sabah,” katanya.
Semasa taklimat, Hajiji turut dimaklumkan bahawa barisan pengeluaran pertama Kibing kini beroperasi sepenuhnya, mengeksport sebanyak 1,500 kontena bernilai USD14 juta setiap bulan.
Barisan kedua dijangka beroperasi sepenuhnya pada Jun, manakala barisan ketiga menjelang akhir tahun ini. Destinasi eksport Kibing merangkumi Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Utara, Afrika dan Eropah.
“Saya ingin menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memudahkan pelaburan masuk ke Sabah. Kami tekad dalam misi kami untuk mewujudkan persekitaran yang menarik lebih banyak pelabur.
“Pelaburan ini juga mengenai mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan inovasi dan menambah baik kesejahteraan rakyat kita,” katanya.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Persekutuan, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.




