705 pegawai perubatan, 1,394 jururawat KKM letak jawatan sepanjang 2022-2024: Dzulkefly

LocalHealth & Fitness
7 Aug 2025 • 11:11 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Sejumlah 705 pegawai perubatan dan 1,394 jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkhidmat melebihi lima tahun, meletak jawatan sepanjang tempoh 2022 hingga 2024, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, antara alasan utama meletak jawatan termasuk ingin berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun, faktor peribadi dan masalah kesihatan.

Dzulkefly mendedahkan, KKM tiada kuasa untuk menyekat pegawai perubatan dan jururawat daripada mencari peluang pekerjaan di sektor swasta dan luar negara.

Pun begitu, KKM tegasnya mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan usaha mengekalkan bakat sedia ada dan membendung penghijrahan melalui beberapa inisiatif, antaranya pengecualian lantikan kontrak interim jururawat oleh agensi pusat yang dilaksanakan bagi lantikan 2023 dan 2024.

"KKM kekal komited memperkukuh sistem penjagaan kesihatan menerusi usaha berterusan dalam meningkatkan kemahiran, kesiapsiagaan dan mobiliti tenaga kerja KKM.

"Bagi menyokong usaha ini, KKM melantik seramai 12,761 pegawai perubatan dan 5,396 jururawat bagi mengisi kekosongan jawatan tetap dari 2022 hingga 2024," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu didedahkan ketika menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai jumlah dan trend kehilangan tenaga kerja berpengalaman, iaitu lebih lima tahun perkhidmatan dalam kalangan doktor dan jururawat sektor awam serta punca utama, selain langkah KKM untuk mengekang masalah itu.

Katanya, pengambilan baharu jururawat dalam tempoh interim bagi 2025 juga boleh dilaksanakan secara lantikan tetap.

Dalam masa sama, KMM turut melaksanakan pengurangan waktu bekerja syif daripada 45 jam kepada 42 jam seminggu bagi pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan jururawat di wad.

Turut dilaksanakan, pemberian elaun dan insentif khusus, antaranya Elaun Lokum, Bayaran Insentif Pakar, Elaun Pos Basik dan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan.

"Bayaran Insentif Pra-warta turut diberikan kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE) bagi mengiktiraf komitmen dan beban tugas kepakaran dalam tempoh SWE.

"Selain itu, peluang kenaikan pangkat secara berasaskan masa dari Gred UD9 ke Gred UD14 dalam tempoh 9 hingga 12 tahun bagi pegawai perubatan.

"Bagi anggota paramedik, peluang kenaikan pangkat secara berasaskan masa, berdasarkan kecemerlangan (TBK 1 dan TBK 2) apabila genap tempoh perkhidmatan 13 tahun," katanya.

Tambah Dzulkefly, KKM komited untuk menambah baik insentif dan manfaat kepada pegawai perubatan supaya kekal berkhidmat dan memperkukuh lagi pengurusan sumber manusia dari semasa ke semasa, terutama bagi fasiliti sedia ada, baharu dan dinaik taraf. - 7 Ogos, 2025