
CHENNAI – Tidak menunggu lama selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay mengarahkan penutupan 717 premis runcit arak TASMAC milik kerajaan negeri dalam tempoh dua minggu.
Menurut laporan NDTV, tindakan itu diambil selepas premis-premis terbabit didapati beroperasi terlalu hampir dengan sekolah, rumah ibadat serta stesen bas.
Difahamkan, semua kedai arak berkenaan berada dalam lingkungan 500 meter dari kawasan awam yang sering menjadi tumpuan orang ramai.
717 Premis Dikenal Pasti
Hasil tinjauan pihak berkuasa mendapati sebanyak 276 kedai arak terletak berhampiran rumah ibadat, 186 berhampiran institusi pendidikan manakala 255 lagi berada dekat dengan perhentian bas.
Jumlah keseluruhan premis yang diarahkan tutup adalah sebanyak 717 unit.
Pegawai kerajaan memaklumkan langkah itu bertujuan memperketat kawal selia operasi kedai arak selain menangani kebimbangan penduduk terhadap kedudukan premis yang dianggap terlalu hampir dengan kawasan sensitif awam.
Arahan berkenaan dikeluarkan selepas beberapa lokasi sebelum ini dilaporkan menerima bantahan daripada penduduk setempat.
Baru Angkat Sumpah Jadi Ketua Menteri
Ketika ini, sebanyak 4,765 kedai runcit arak masih beroperasi di bawah Perbadanan Pemasaran Negeri Tamil Nadu.
Sebelum ini, bintang filem terkenal India itu secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada Ahad selepas gabungan dipimpin parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) berjaya membentuk kerajaan negeri.
Menurut AFP, majlis angkat sumpah yang berlangsung di Chennai itu penuh debaran susulan cabaran mendapatkan sokongan parti-parti kecil selepas pilihan raya negeri berakhir.
TVK yang ditubuhkan dua tahun lalu muncul sebagai parti terbesar apabila berjaya menguasai 108 daripada 234 kerusi Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu. – The Malaysian Update
The post 717 Kedai Arak Diarah Tutup, Ketua Menteri Baharu Tamil Nadu Terus Bertindak appeared first on The Malaysian Update.






