HYDERABAD – Ketua Menteri baharu Tamil Nadu, C. Joseph Vijay pada Selasa mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas ucapan tahniah dan menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan Malaysia.
Pelakon popular Tamil berusia 51 tahun yang kini bergelar ahli politik itu berkata, beliau amat berbesar hati menerima ucapan tahniah daripada Anwar.
“Terima kasih atas ucapan yang penuh bermakna itu. Saya komited untuk memperkukuh kerjasama dan meningkatkan hubungan persahabatan antara Tamil Nadu dan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri negeri selatan India itu pada Ahad selepas parti pimpinannya, Tamilaga Vettri Kazhagam memenangi pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang berlangsung pada April lalu.
Terdahulu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Vijay dan memuji pencapaiannya dalam pilihan raya tersebut.
“Saya mengucapkan tahniah kepada sahabat saya Vijay atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu,” kata Anwar menerusi hantaran di X.
Menurut beliau, rakyat Tamil Nadu kini meletakkan tanggungjawab besar kepada Vijay selepas sekian lama dikenali menerusi watak menentang rasuah dan penjahat dalam filem.
Anwar turut berkata, Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah, budaya serta hubungan rakyat yang erat sejak sekian lama dan beliau berharap dapat bekerjasama rapat dengan Vijay pada masa depan. - Bernama






