Sebanyak 72 syarikat media menerima pembiayaan keseluruhan RM30 juta menerusi pelaksanaan terdahulu Dana Inovasi Media, yang kini diteruskan dengan pengenalan Dana Inovasi Media 2.0.

Foto: Sinar Harian
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu bertujuan menyokong perubahan industri media tempatan melalui pendigitalan, pembangunan bakat serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, sambutan terhadap fasa terdahulu menunjukkan syarikat media bukan sahaja memerlukan bantuan untuk melaksanakan transformasi, malah bersedia memanfaatkan pembiayaan bagi menambah baik operasi dan memperbaharui kaedah penyampaian kandungan.
“Dana Inovasi Media 2.0 mengekalkan empat skop pembiayaan sedia ada dengan penambahan satu skop baharu, menjadikan keseluruhannya lima skop pembiayaan.
“Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan industri media terus diperkasa, khususnya dalam menghadapi perubahan teknologi dan cabaran landskap media semasa,” katanya.
Pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 menyusuli pengumuman Perdana Menteri bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada Jun lalu.
Fahmi turut berharap pemain industri merebut peluang pembiayaan yang disediakan untuk memperkukuh daya tahan syarikat serta memastikan operasi dan kandungan mereka terus relevan dengan perkembangan semasa.
Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh melalui laman web rasmi Dana Inovasi Media di https://danainovasimedia.komunikasi.gov.my/.
Sumber: MalaysiaGazette (Mohd Zaini Samsu Hadi)






