73 JKKK, 149 gereja di Kadamaian terima RM295,000

LocalPolitics
16 Apr 2025 • 3:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: R Gonzales

Kota Kinabalu: Sebanyak 73 badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan 149 gereja di Kadamaian, di sini, menerima sumbangan Sentuhan Kasih Adun Kadamaian berjumlah RM295,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang menyampaikan sumbangan itu berkata, daripada jumlah peruntukan itu, setiap JKKK menerima sumbangan berjumlah RM2,000 manakala setiap gereja menerima sumbangan berjumlah RM1,000.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah sebahagian program Sentuhan Kasih tahunan menggunakan peruntukan beliau sebagai Adun Kadamaian tahun ini.

"Sebelum ini, saya menyalurkan sumbangan penganjuran aktiviti di peringkat kampung termasuk gotong-royong dan sambutan perayaan kepada semua JKKK di Kadamaian melibatkan sumbangan RM2,000 setiap JKKK.

"Pada tahun ini, semua badan JKKK juga akan menerima sumbangan yang sama sebanyak RM2,000 setiap JKKK bagi tujuan yang sama iaitu, aktiviti gotong-royong dan sambutan perayaan seperti Pesta Kaamatan.

"Gereja-gereja juga akan menerima sumbangan RM1,000 iaitu bagi sambutan perayaan yang diadakan oleh gereja termasuk ibadah Paskah yang mana jumlaj ini juga sama dengan sumbangan yang disalurkan pada tahun lepas".

"Bagi masjid dan surau pula sudah menerima lebih awal pada Ramadan dengan jumlah yang sama, iaitu RM1,000 bagi setiap masjid dan surau di seluruh Kadamaian.

"Selain JKKK, gereja dan kampung, saya juga akan meneruskan pemberian bantuan kepada penduduk kurang bernasib baik, bantuan awal pengajian, kelahiran, kematian dan sebagainya,” katanya.

Menurut Ewon, penyaluran sumbangan tersebut juga bertujuan memastikan Program Sentuhan Kasih Adun Kadamaian sampai kepada semua kampung di seluruh Kadamaian.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata setiap sekolah menengah menerima sumbangan bantuan penganjuran aktiviti sebanyak RM10,000 manakala sekolah rendah pula menerima sumbangan sebanyak RM5,000 serta tambahan RM5,000 lagi bagi setiap sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyampaian sumbangan Sentuhan Kasih Adun Kadamaian di Pusat Khidmat Adun Kadamaian di sini, Ahad.

Ewon berkata beliau akan terus komited menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang diilhamkan beliau selagi diperlukan oleh rakyat Kadamaian.

"Rakyat Kadamaian sudah mengetahui mengenai Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang sedang kita jayakan dengan melibatkan pelbagai pelaksanaan projek berskala besar dan dalam proses menaik taraf laluan.

Antaranya Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos, jambatan Kaung, penyukatan tanah di bawah Program Pantas di Kampung Kiau, Kampung Tambatuon, Kampung Sayap, Kampung Terintidon dan Kampung Melangkap.

Ia termasuklah kerja menaik taraf sekolah-sekolah sehingga projek berskala kecil seperti kemudahan premis Tamu Desa di seluruh Kadamaian, jalan konkrit kampung, jambatan gantung fiber dan pelbagai kemudahan lain.

“Di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif Kuskop) pula, kita memberi fokus tambahan kepada keperluan Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan fokus sedia ada di seluruh negara.

“Saya pula akan berikan fokus istimewa kepada kawasan yang saya wakili iaitu Kadamaian dan Penampang di bawah pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah dasar yang saya perkenalkan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop),” katanya.

Ewon turut menyatakan gesaan agar rakyat Kadamaian terus bersatu menjayakan pelbagai pembangunan yang diperlukan, membangunkan sektor ekonomi dan keusahawanan serta menjadi teladan kepada kecemerlangan, kerjasama, perpaduan dan keharmonian rakyat.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton; Pegawai Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Saikom Watis dan Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Kadamaian, Pastor Phool Tampisal.