RM3 juta laksana Ehsan@Kuskop tangani kemiskinan di tiga daerah di Sabah

LocalPolitics
21 Mar 2025 • 1:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Bank Rakyat memperuntukkan RM3 juta tahun ini bagi pelaksanaan Program Ehsan@Kuskop di Sabah.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, tiga kawasan iaitu Kota Belud, Kudat dan Kota Marudu akan menjadi projek perintis bagi program tersebut.

Katanya, ketiga-tiga kawasan parlimen itu merupakan kawasan termiskin di Malaysia dan masing-masing akan menerima RM1 juta bagi pelaksanaan program berkenaan yang telah pun bermula.

Menurutnya, Ehsan@Kuskop membabitkan bantuan pendidikan kepada pelajar miskin, antaranya pembiayaan kos operasi asrama desa dan tuisyen bagi meringankan beban ibu bapa, khususnya yang tersenarai dalam e-Kasih.

Pada masa sama, katanya, beliau enggan ada anak-anak yang tidak bersekolah kerana ibu bapa mereka tidak mampu menampung kos operasi asrama desa, pengangkutan dan sebagainya.

“Ramai anak-anak yang tinggal jauh dari sekolah tidak sempat masuk asrama hingga terpaksa tinggal di asrama desa yang kos operasinya ditanggung oleh ibu bapa mereka, berbanding asrama sekolah yang dibiayai kerajaan.

“Asrama desa ini ada yang dibina oleh ibu bapa dan ada juga dibina badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan mendapatkan pendidikan.

“Justeru melalui Ehsan@Kuskop, kita akan segera bantu dengan menampung kos operasi asrama desa ini dan program tuisyen, termasuk aspek pengangkutan yang masih dalam penelitian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Aktiviti Yayasan Bank Rakyat Kepada Sekolah-Sekolah di Parlimen Penampang, di sini, Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani; wakil rakyat Kapayan, Jannie Lasimbang dan Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang.

Ewon berkata, walaupun tanggungjawab Kuskop melibatkan pembangunan usahawan dan koperasi namun sebagai pemimpin Sabah, beliau merasa bertanggungjawab membantu dalam isu kemiskinan.

Atas dasar itu, katanya, program Ehsan@Kuskop diwujudkan dengan kerjasama Bank Rakyat bagi menunjukkan komitmen beliau untuk menjadi sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan di wilayah ini.

“Ini adalah tanggungjawab tambahan yang saya ambil kerana saya tidak dapat terus berdiam mendengar Sabah (khususnya tiga parlimen itu) dilaporkan sebagai daerah termiskin.

“Saya ingin ambil inisiatif menawarkan beberapa penyelesaian walaupun bukan penuh sebab tanggungjawab basmi kemiskinan tugas pelbagai kementerian tetapi ini (Ehsan@Kuskop) adalah daripada kementerian kami.

“Penghargaan kepada Bank Rakyat melalui YBR sebagai entiti di bawah Kuskop yang telah banyak membantu kita bagi memastikan program ini dapat direalisasikan,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut menyampaikan sumbangan Yayasan Bank Rakyat berjumlah RM230,000 kepada 28 sekolah di daerah ini, merangkumi sekolah rendah, menengah dan pendidikan khas.

Masing-masing empat sekolah menengah menerima RM10,000 manakala RM5,000 untuk setiap 24 sekolah rendah dan tambahan RM10,000 untuk program pendidikan khas di dua sekolah menengah di sini.