
MARANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar aktiviti penyeludupan rokok menerusi serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Alor Limbat, di sini semalam.
Serbuan pada pukul 3 petang itu berjaya merampas 74,650 batang rokok putih dan kretek yang dianggarkan bernilai RM142,187.50.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang lelaki berusia 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Sewaktu serbuan dilakukan, pemeriksaan pada badan suspek pada mulanya tidak menjumpai apa-apa barang salah. Begitupun, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik rumah kedai itu kemudiannya berjaya menemukan 74,650 batang rokok putih dan kretek disyaki tidak bercukai,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, bekalan rokok tersebut didapati disorok di dalam almari di dalam bilik khas tersebut.
Beliau berkata, barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini untuk tindakan lanjut.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 74,650 batang rokok seludup disorok dalam almari appeared first on Kosmo Digital.






