
HULU TERENGGANU – Sebuah kilang pemprosesan kayu diserbu Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana disyaki beroperasi tanpa lesen sah di Gerdong, Kuala Berang, di sini, semalam.
Serbuan pada pukul 1 tengah hari itu berjaya merampas 141 batang kayu disyaki tidak bercukai dan pelbagai peralatan dianggarkan bernilai RM640,510.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang lelaki berusia 20 tahun yang dipercayai pekerja kilang terbabit turut diberkas dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis kayu disimpan serta diproses di premis tersebut tanpa pengesahan cukai sah.
“Seorang lelaki yang berada di premis berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen atau lesen berkaitan operasi kilang dan kayu-kayu yang terdapat di situ. Siasatan awal percaya pemilik kilang berkenaan disyaki mengendalikan operasi tanpa mematuhi syarat lesen serta peraturan ditetapkan pihak berkuasa.
“Urusan pembelian kayu dipercayai dijalankan melalui orang tengah bagi mengelakkan sebarang kaitan secara langsung dengan pemilik kilang. Bayaran setiap urus niaga tersebut juga dipercayai dibuat secara tunai tanpa rekod rasmi bagi mengelakkan pengesanan serta semakan kewangan oleh pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post PGA serbu kilang kayu haram di Kuala Berang appeared first on Kosmo Digital.






