
PETALING JAYA – Seramai 78 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, 1 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) melibatkan pelbagai sudut.
Menurutnya, saksi yang telah dirakam percakapan terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) serta dua waris si mati.
“Lelaki berkenaan ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan beberapa kes melibatkan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Pada 30 September, si mati dirujuk ke HCTM untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan pada organ dalaman mangsa, namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran tubuhnya.
“Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat dipastikan kerana keputusan analisis makmal masih ditunggu. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes tersebut turut dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).
“JIPS tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan selaras dengan peraturan serta undang-undang,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan punca kematian orang kena tahan (OKT) yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di HCTM pada 1 Oktober lalu masih belum dimuktamadkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihak polis masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia dan keputusan pemeriksaan patologi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post 78 saksi dirakam keterangan kes lelaki mati dalam tahanan appeared first on Kosmo Online.






