
KUALA LUMPUR - Bedah siasat yang dijalankan ke atas seorang lelaki berusia 42 tahun yang meninggal dunia dalam tahanan polis mendapati tiada sebarang kecederaan pada bahagian organ dalaman namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Aida Abdul Hamid berkata, punca kematian telah dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal) dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Aida memberitahu, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS akan meneruskan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut.
Kes ini, katanya dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).
“Pihak USJKT merakam percakapan 78 orang saksi yang terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) termasuk dua orang waris,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorizwan Zulkefly, 42, ditahan polis Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Noorizwan meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lepas.
“Si mati dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) di Cheras pada 30 September untuk mendapatkan rawatan.
“Dia diberikan rawatan awal oleh doktor sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi, 1 Oktober,” katanya.
Aida memberitahu, polis komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani sebarang insiden seumpama ini serta menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“JIPS memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan selaras dengan peraturan dan undang-undang,’’ katanya.
Kematian Noorizwan dalam tahanan polis mendorong kumpulan hak asasi manusia menggesa supaya siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan.
Pada 9 Oktober lepas, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan dakwaan terdapat kecederaan serius pada tubuh mangsa.
Manakala Lawyers for Liberty (LFL), yang mewakili keluarga mangsa, mempersoalkan keadaan fizikal mangsa dan mendakwa keluarganya hanya dimaklumkan mengenai kematiannya kira-kira 18 jam selepas kejadian. - 24 Oktober, 2026
The post Kematian dalam tahanan: Bedah siasat dapati tiada kecederaan organ dalaman, kes dirujuk IPCC appeared first on Scoop.






