8,000 Penduduk Resah Tapak Sampah Haram Cemari Bau Di Puncak Alam

LocalEnvironment
5 Oct 2026 • 7:32 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

8,000 Penduduk Resah Tapak Sampah Haram Cemari Bau Di Puncak Alam

KUALA SELANGOR, 5 Okt (Bernama) -- Kewujudan tapak pembuangan sampah haram seluas kira-kira 1.2 hektar berhampiran Rentak Perdana dan Ritma Perdana di Puncak Alam, Selangor menimbulkan keresahan lebih 8,000 penduduk susulan pencemaran bau sejak bulan lepas.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan tanah seluas kira-kira 1.2 hektar berhampiran dua taman perumahan itu dipenuhi longgokan sampah seperti sisa binaan, industri dan domestik.

Pengerusi Penduduk Rentak Perdana Ahmad Hosni Mubara, 42, berkata masalah itu dihadapi selepas lori dilihat memasuki kawasan berkenaan untuk membuang sampah sejak Julai lepas.

Beliau berkata pihaknya kemudian membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yang melakukan tindakan sitaan dengan menutup laluan menggunakan konkrit.

“Namun, tindakan penguatkuasaan pada bulan lepas itu masih belum menyelesaikan masalah berkenaan dan bau busuk semakin kuat, terutama ketika hujan.

“Pencemaran itu turut mengundang banyak lalat dan nyamuk, sekali gus dikhuatiri menjadi punca penyakit, khususnya kepada kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di lokasi itu hari ini.

Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Che Rohaida Ngah, Penyelia Kawasan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS Shahril Adlan Ahmad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Datuk Harrison Hassan melakukan tinjauan di tapak pembuangan sampah haram itu.

Wakil penduduk Ritma Perdana, Ikhwan Hafizi, 29, berkata keadaan itu turut menyebabkan jumlah haiwan berbisa dan tikus semakin meningkat.

“Penduduk juga pernah menangkap tiga ular di kawasan perumahan yang didiami lebih 4,000 penduduk. Justeru, tindakan segera pembersihan perlu diambil dan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana mengundang risiko keselamatan serta kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Shahril berkata pihaknya mengambil tindakan mengorek laluan masuk ke lokasi berkenaan bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah haram pada 16 Sept lepas.

“MPKS akan melakukan kerja pembersihan dan kutipan sampah itu dalam tempoh terdekat yang dijangka mengambil masa sebulan.

“Penduduk juga disaran segera melaporkan sebarang perkara berhubung aktiviti itu bagi membolehkan tindakan kompaun dikenakan kepada pemandu lori terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Harrison berkata Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Kuala Selangor akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 7A terhadap pemilik tanah berikutan berlaku pelanggaran syarat nyata atau tersirat pada hak milik tanah.

Baca juga:

“MPKS turut disaran mengeluarkan kompaun kerana membiarkan kawasan itu menjadi lokasi pembuangan sampah haram dan mengarahkan supaya kerja pembersihan segera dilakukan,” katanya.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved