10 tan sampah haram ‘hantui’ 10,000 penduduk Puncak Alam

LocalEnvironment
5 Oct 2026 • 4:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 10 tan sampah haram ‘hantui’ 10,000 penduduk Puncak Alam

KUALA SELANGOR – Lambakan kira-kira 10 tan sampah haram bukan sahaja mengeluarkan bau busuk malah menjadi lokasi pembiakan tikus, ular, lalat dan nyamuk menghantui hampir 10,000 penduduk di dua taman perumahan Puncak Alam di sini.

Keadaan itu bertambah buruk selepas hujan apabila air bertakung bercampur sisa domestik, sekali gus menghasilkan bau busuk yang semakin menyengat sejak bulan lalu.

Pengerusi Persatuan Rentak Perdana, Ahmad Hosni Mubarak, 42, berkata, pihaknya mula membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada Ogos lalu selepas mendapati kawasan tersebut dijadikan lokasi pembuangan sampah.

Katanya, tindakan MPKS menyita lokasi berkenaan dan menutup laluan dengan konkrit pada awal September lalu bagaimanapun belum menyelesaikan masalah apabila masih terdapat aktiviti mengambil besi buruk di situ.

“Bau busuk mula ketara sejak bulan lalu dan semakin kuat apabila hujan. Sekarang lalat dan nyamuk pula semakin banyak.

“Setakat ini belum ada penduduk yang jatuh sakit, tetapi kami bimbang keadaan ini boleh menjadi punca penyakit pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan bersama Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jabatan Alam Sekitar dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. meninjau lokasi sampah haram itu.

Ahmad Hosni berkata, Taman Rentak Perdana yang dibuka pada 2021 mempunyai kira-kira 884 rumah dengan lebih 4,500 penduduk dengan kawasan lambakan sampah itu terletak kira-kira 70 meter dari perumahan.

“Tapak sampah haram itu juga mempunyai ‘tasik buatan’ dipenuhi sampah kesan tambakan daripada sampah,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk Ritma Perdana, Ikhwan Hafizi, 29, berkata, masalah pembuangan sampah di kawasan berkenaan sebenarnya sudah berlaku sejak awal tahun ini.

Menurutnya, jumlah tikus semakin meningkat, manakala penduduk turut menemui dan menangkap tiga ekor ular berhampiran kawasan perumahan.

“Lebih 4000 penduduk di taman kami terjejas dengan keadaan ini dan berharap tindakan segera diambil kerana masalah ini tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya.

Penyelia Kawasan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Shahril Adlan Ahmad berkata, pihaknya telah mengambil tindakan mengorek laluan masuk ke lokasi berkenaan pada 16 September lalu bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah.

“Selagi ada laluan, mereka akan masuk. Kita korek hari ini, esok ditimbus semula dan kawasan itu menjadi lokasi baharu untuk pembuangan sampah.

“Kita tahu sampah ini datang dari mana, tetapi masih belum mempunyai maklumat terperinci dan setakat ini belum ada lori yang disita,” katanya.

Beliau berkata, sampah yang dibuang dipercayai terdiri daripada sisa domestik dan pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan serta kutipan sampah dalam masa terdekat yang mengambil masa sebulan.

“Dianggarkan ada kira-kira 10 lokasi pembuangan sampah haram dari Kampung Seri Aman, Desa Coalfields hingga Kampung Harmoni, Ijok,” katanya.

Dalam pada itu, Harrison berkata, perkara sebegini sepatutnya dapat dielakkan dengan tindakan dibuat sebelum ia menjadi tular.

“PDT Kuala Selangor akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 7A terhadap pemilik tanah berikutan berlaku pelanggaran syarat nyata atau tersirat pada hak milik tanah.

“MPKS turut disarankan mengeluarkan kompaun terhadap pemilik tanah kerana membiarkan kawasan berkenaan menjadi lokasi pembuangan sampah haram selain mengarahkan kerja pembersihan dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 10 tan sampah haram ‘hantui’ 10,000 penduduk Puncak Alam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved