80 peratus rakyat Malaysia guna TikTok untuk pembelajaran

LocalTechnology
1 Sep 2026 • 9:34 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 80 peratus rakyat Malaysia guna TikTok untuk pembelajaran

Kajian yang dijalankan oleh Kearney terhadap hampir seribu rakyat Malaysia yang menggunakan TikTok setiap minggu mendapati majoriti responden memperoleh manfaat daripada platform penemuan global tersebut dari segi pendidikan, penghargaan budaya, jalinan komuniti dan kesejahteraan diri.

Dapatan kajian tersebut menyerlahkan bagaimana impak ketara para pencipta kandungan tempatan menjangkau seluruh komuniti TikTok yang lebih luas.

Sebanyak 85 peratus responden menyatakan bahawa TikTok dapat membantu menjadikan pembelajaran lebih mudah diperoleh, manakala 72 peratus menyatakan bahawa platform ini menyokong peningkatan diri serta kemahiran bagi perkembangan kerjaya dan akademik.

Terdapat pelbagai kandungan berkaitan pembelajaran boleh didapati di TikTok.

Seorang pencipta kandungan yang juga guru tuisyen dari Cheras yang banyak mengubah topik matematik kompleks kepada kandungan menghiburkan, Fathi Hussein (@mathsanova), pendidikan adalah milik semua orang dan perlu melangkaui bilik darjah fizikal.

“Apabila kita menjadikan sebuah topik pembelajaran seronok dan inklusif, kita menyemarakkan minat untuk belajar sepanjang hayat, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.

“Kemakmuran bersama yang sebenar bermula apabila ilmu dapat diakses oleh semua orang, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau geografi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim (@sir_asai), seorang guru bahasa Inggeris berpengalaman melebihi 25 tahun yang menjadi tumpuan menerusi tutorial sebutan yang santai menyifatkan pembelajaran tidak sepatutnya membosankan.

“Jutaan rakyat Malaysia yang menonton untuk belajar secara sukarela membuktikan bahawa apabila pendidikan disampaikan secara menghiburkan dan mudah didekati, kita mampu memartabat seluruh komuniti melalui perkongsian ilmu,” katanya.

Sementara itu, Ku Sim Ling yang dikenali di TikTok sebagai Aunty HR berkongsi selepas 20 tahun berada dalam industri penyelesaian tenaga kerja, banyak perkara yang telah dipelajari dan berharap dapat diketahui oleh lebih ramai pekerja.

“Platform digital memberikan saya ruang untuk berkongsi pengetahuan tersebut kepada komuniti yang lebih luas menerusi pendekatan praktikal. Amat penting untuk memahami hak anda sebagai pekerja mahupun majikan sekiranya anda ingin membuat keputusan yang lebih baik di tempat kerja,” katanya.

Dalam pada itu, kajian tersebut turut mendapati 84 peratus responden percaya TikTok membantu menghubungkan pelbagai budaya, manakala 65 peratus bersetuju bahawa platform ini memupuk rasa kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia serta menggalakkan penglibatan komuniti tempatan.

Bagi Chin Pui Ting atau Pudds yang menerbitkan siri kandungan Mystical Malaysia bagi memelihara warisan negara serta memupuk keharmonian silang budaya, menekankan memahami adalah langkah pertama ke arah penghargaan.

“Melalui TikTok, saya harap dapat jadikan kepelbagaian budaya dan tradisi Malaysia lebih mudah diakses, menggalakkan orang ramai melihat melangkaui apa yang mereka tahu dan pelajari tentang komuniti di sekeliling mereka.

“Apabila kita meluangkan masa untuk memahami perbezaan kita, kita boleh membina penghargaan yang lebih besar untuk satu sama lain,” katanya.

Hubungan pelbagai budaya ini turut berkembang ke dalam ekonomi tempatan menerusi usahawan tempatan seperti Nur Farrah Diba Azhar dan Haniesah Lai Abdullah yang menjadikan sajian tradisional Cina lebih inklusif dengan menawarkan variasi mesra Muslim bagi nian gao (kuih bakul) dan bak chang di TikTok Shop.

Di samping itu, Muhammad Azamudeen Mohammad Nasir, penyelidik berasal dari Pekan yang sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang ekologi dan genetik ikan paya gambut serta aktif berkongsi minat terhadap alam semula jadi dan sains di TikTok berpandangan komuniti dalam talian kini telah berkembang jauh melangkaui hiburan semata-mata.

“Platform digital turut menjadi saluran penting bagi wacana awam dan kemajuan sosial. Matlamat saya adalah untuk memupuk penghayatan yang lebih mendalam dalam kalangan komuniti tempatan terhadap keunikan biodiversiti tropika Malaysia.

“Apabila lebih ramai rakyat Malaysia berminat terhadap usaha pemuliharaan flora dan fauna, kita dapat melindungi warisan semula jadi negara dengan lebih baik demi generasi akan datang,” katanya.

Selain itu, kajian tersebut turut merekodkan 79 peratus responden menggunakan TikTok untuk meneroka hobi dan 77 peratus memanfaatkan platform ini untuk membantu mengurus tekanan.

The post 80 peratus rakyat Malaysia guna TikTok untuk pembelajaran appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved