92.2% penduduk Bukit Malut rakyat Malaysia

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 92.2% penduduk Bukit Malut rakyat Malaysia

LANGKAWI: Kajian oleh pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati 92.2 peratus daripada le­bih 5,500 penduduk Bukit Malut di sini adalah rakyat Malaysia.

Kajian itu mendapati mereka memiliki MyKad yang sah sekali gus menafikan dakwaan kononnya kira-kira 15,000 etnik Ro­hingya menetap di kawasan itu secara haram.

Sebaliknya majoriti mereka komuniti Melayu Islam Kedah (MIK) yang mempunyai latar belakang sejarah yang ada kaitan dengan komuniti Islam di Myanmar.

Pensyarah Pusat Pe­ngajian Kerajaan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Na’eim Ajis berkata, dapatan itu membuktikan penduduk Bukit Malut ialah warganegara Malaysia.

Katanya, sebahagian komuniti berkenaan pernah berhijrah ke Myanmar ketika Perang Dunia Kedua sebelum kembali me­netap di Langkawi sekitar 1980-an.

“Ramai menganggap Bukit Ma­lut ialah penempatan Ro­hingya atau lokasi pendaratan pelarian etnik itu. Tanggapan tersebut tidak te­pat,” katanya selepas meninjau kawasan itu semalam.

Sejarah Bukit Malut berkait rapat dengan era pendudukan Jepun antara 1942 hingga 1945 apabila ribuan penduduk Tanah Melayu termasuk dari Kedah, dipaksa menjadi buruh pembinaan Landasan Kereta Api Maut di Burma.

Katanya, selepas perang berakhir, sebahagian daripa­da mereka menetap di Ranong, berhampiran sempadan Thailand-Myanmar sebelum dibawa pulang ke Langkawi sekitar 1980-an melalui inisia­tif kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri atas pertimbangan kemanusiaan.

Beliau berkata, usaha menangani isu membelenggu Bukit Malut tidak seharusnya tertumpu kepada aspek pe­nempatan semula semata-mata, sebalik­nya perlu disertai strategi komunikasi awam bagi membetulkan persepsi masyarakat.

“Paling penting adalah mengubah imej Bukit Malut kepada imej yang lebih positif. Dakwaan bahawa kawasan ini sinonim dengan jenayah perlu dijelaskan berdasarkan fakta sebenar oleh pihak berkuasa.

“Satu kerangka khusus perlu diwujudkan untuk mengubah persepsi tersebut. Universiti, agensi kerajaan dan media boleh melaksanakan lebih banyak program kemasyarakatan di sini supaya masyarakat luar melihat sendiri keadaan sebenar Bukit Malut,” katanya.

Komuniti di kawasan itu mempunyai potensi besar khususnya dalam sektor perikanan dan pembangunan modal in­san yang wajar diperkasakan melalui pelbagai program pembangunan.

Sebelum ini, Bukit Malut sering dikaitkan dengan pe­nempatan etnik Rohingya dan didakwa menjadi kawasan transit aktiviti pengedaran dadah di Langkawi.

Selain isu Rohingya, pe­nempatan Bukit Malut menjadi kontroversi kerana ianya didirikan atas tanah milik kerajaan, syarikat swasta dan tanah persendirian di situ antaranya yang dimiliki Permodalan Kedah Berhad (PKB).

Pada 27 Jun 2022, PKB mula bertindak terhadap pencerobohan tanah miliknya dengan merobohkan 41 buah rumah yang dibina secara haram di atas tanah berkeluasan 16.19 hektar.

Bagaimanapun, tiada tindakan susulan selepas operasi terbabit dengan penduduk yang tinggal di kawasan itu menjalani kehidupan ha­rian mereka seperti biasa tanpa ada sebarang kerisauan.

Malah, usaha pemindahan atau penempatan semula telah dilakukan pda 2014 dan 2022, namun hanya berjaya dilaksanakan separuh jalan.

Sementara itu Abas Salam, 62, antara generasi terawal yang menetap di Kampung Tanjung Lembung, Bukit Malut, menolak dakwaan bahawa penempatan itu dihuni masyarakat Rohingya.

Katanya, sepanjang lebih tiga dekad tinggal di Bukit Malut, beliau tidak pernah menemui etnik Rohingya menetap di kawasan itu seperti yang sering diperkatakan.

“Kami bercakap bahasa Me­layu loghat Kedah sejak kecil. Kalau ada Rohingya tinggal di sini, sudah tentu kami tahu mereka bukan Melayu Islam Kedah.

“Hentikan fitnah mengatakan kami Rohingya. Kami ialah keturunan Melayu Islam Kedah, warganegara Malaysia yang sah,” katanya.

Abas berkata, beliau dilahirkan di Tanah Sari, selatan Myanmar sebelum berhijrah ke Malaysia bersama kira-kira 20 ahli keluarga ketika berusia 30-an bagi mencari kehidupan lebih baik.

Katanya, mereka terlebih dahulu ditempatkan di sebuah kem di Kelantan bagi urusan dokumentasi sebelum dipindahkan ke Bukit Malut yang ketika itu masih dipenuhi hutan paya bakau.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Malut, Mohamad Fadzli Abdullah berkata, penduduk sudah lali berdepan persepsi negatif yang sering mengaitkan kawasan itu dengan pelbagai isu.

Katanya, setiap kali timbul isu kemasukan Rohingya ke Langkawi, Bukit Malut sering menjadi sasaran tuduhan walaupun kawasan itu terletak berhampiran pangkalan agensi penguat kuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Ja­batan Kastam Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

“Kalau ada sebarang pendaratan atau pergerakan mencurigakan, sudah tentu ia akan dikesan. Dakwaan kononnya Bukit Malut menjadi lokasi pendaratan Rohingya tidak berasas,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasuki Bukit Malut atau kawasan itu tidak selamat untuk dikunjungi. – UTUSAN

The post 92.2% penduduk Bukit Malut rakyat Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved