
PETALING JAYA: Program eTRADE 2.0 oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berjaya membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjana RM438.7 juta jualan eksport sebenar dan menembusi 163 pasaran antarabangsa.
Dapatan tersebut merupakan hasil Kajian Impak Program eTRADE 2.0 yang dilaksanakan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd. melalui soal selidik terhadap penerima insentif, temu bual pihak berkepentingan serta analisis indikator prestasi utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian program itu menunjukkan pendekatan e-dagang rentas sempadan mampu membantu PMKS mengatasi sebahagian daripada cabaran tradisional dalam perdagangan antarabangsa.
“Melalui program ini, syarikat PMKS telah memperlihatkan tahap ketahanan, keupayaan adaptasi serta prestasi yang memberangsangkan, khususnya dalam aspek pertumbuhan eksport, penciptaan peluang pekerjaan dan peluasan capaian ke pasaran antarabangsa.
“Kejayaan ini turut menunjukkan platform digital bukan sekadar saluran pemasaran, malah boleh menjadi pintu masuk kepada pasaran eksport baharu bagi syarikat Malaysia, khususnya PMKS yang berdepan kekangan sumber, kos dan akses kepada pasaran antarabangsa.
“Program eTRADE 2.0 telah berjaya membuktikan bahawa pendekatan berteraskan digital mampu memperkukuhkan daya saing syarikat PMKS, menggalakkan pewujudan peluang pekerjaan serta menyokong satu rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh.
“Hasil yang dicapai ini akan terus dijadikan panduan dalam usaha berterusan Matrade untuk memperkasakan syarikat PMKS di pentas ekonomi digital global,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kajian impak tersebut memberikan gambaran mengenai keberkesanan Program eTRADE 2.0 serta menyediakan input strategik kepada Matrade dalam merangka intervensi pembangunan eksport digital yang lebih bersasar, inklusif dan mampan.
Menurutnya, susulan kejayaan Program eTRADE 2.0, Matrade akan meneruskan usaha memperkukuh ekosistem e-dagang rentas sempadan melalui Program eBizLink 2.
“Ini dengan memberi tumpuan kepada peluasan akses pasaran antarabangsa, peningkatan kapasiti PMKS, pembangunan ekosistem perdagangan digital serta kerjasama strategik dengan platform e-dagang global.
“Langkah ini selaras dengan usaha Matrade untuk memastikan lebih banyak syarikat Malaysia, khususnya PMKS, bersedia memanfaatkan teknologi digital sebagai strategi pengembangan eksport dan seterusnya meningkatkan kehadiran produk serta perkhidmatan Malaysia di pasaran antarabangsa,” ujarnya. –UTUSAN
The post eTRADE 2.0 bantu PMKS jana RM438.7 juta appeared first on Utusan Malaysia.





