82% rakyat Malaysia setuju Airbnb bantu penduduk jana pendapatan tambahan

20 Jun 2023 • 3:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

82% rakyat Malaysia setuju Airbnb bantu penduduk jana pendapatan tambahan

zulfadli

20/06/2023 - 15:55

KUALA LUMPUR 20 Jun - Lebih 82% rakyat Malaysia yang ditinjau menyifatkan platform Airbnb bukan sahaja memacu aktiviti ekonomi, tetapi juga membolehkan penduduk tempatan menjana pendapatan tambahan.

Menurut tinjauan baharu Clearpath Strategies, 84% daripada responden bersetuju bahawa Airbnb menjana peluang bagi pemilik perniagaan tempatan, manakala 77% berpendapat Airbnb menawarkan pengalaman yang tulen, bersifat tempatan, dan luar biasa kepada pelancong.

Malah katanya, lebih 67% rakyat Malaysia yang ditinjau percaya menyewa rumah melalui Airbnb memberi impak positif kepada komuniti mereka dan penduduknya.

"Hasil tinjauan turut mendedahkan sokongan kukuh terhadap penginapan sewaan jangka pendek (STRA) dalam kalangan rakyat Malaysia. 6 daripada 10 responden berkata STRA memberikan rangsangan ekonomi kepada kejiranan pinggir bandar serta meningkatkan hasil pelancongan bagi komuniti mereka.

"Dalam pada itu, 75% berpendapat bahawa rakyat Malaysia harus dibenarkan untuk menggunakan pangsapuri kosong lebihan sebagai STRA bagi menangani masalah hartanah yang tidak terjual, di kawasan-kawasan termasuk Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Airbnb berkata, dengan isu harga dan kos sara hidup, tinjauan itu mendapati bahawa dari aspek pelancongan, kebimbangan terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia yang ditinjau adalah kenaikan kos akan lebih menyukarkan orang ramai untuk melancong.

Katanya, responden turut berkongsi sebab utama rakyat Malaysia menggunakan Airbnb adalah kerana ia membolehkan keluarga melancong dengan cara lebih berpatutan dan selesa, selain memacu pelancongan negara dan menjana pendapatan tambahan untuk penduduk tempatan yang menyewakan rumah mereka.

"Dengan kembalinya pelancongan domestik dan antarabangsa, Airbnb menyaksikan minat yang kian meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk melancong dan menjadi hos melalui platform tersebut.

"Hampir 60% daripada responden berkongsi mereka mungkin akan melancong dengan menggunakan Airbnb dalam tempoh 12 bulan akan datang, manakala 40% mungkin akan menjadi hos di platform tersebut dalam tempoh yang sama," katanya.

Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh turut menegaskan kepentingan peraturan STRA yang saksama dan seimbang di negara ini, dan memahami bahawa garis panduan nasional bagi STRA yang boleh dirujuk semua negeri sedang dibangunkan Kerajaan Persekutuan.

"Kebangkitan semula pelancongan akan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan pelancongan di seluruh Malaysia. Penetapan peraturan yang jelas dan progresif yang menyokong pengendali STRA, akan memastikan pelancong tempatan dan antarabangsa dapat terus mengakses pelbagai penginapan yang unik dan mesra keluarga pada pelbagai lingkungan harga.

"STRA turut menggalakkan pelancong untuk tinggal lebih lama, serta menawarkan pelancong perubatan dan nomad digital satu tempat tinggal yang selesa. Paling penting, ia membolehkan rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan, daripada kedai makanan dan minuman hinggalah kedai dobi, meraih manfaat daripada 'trickle down' pelancongan," katanya.

Tambah beliau, pengawalseliaan STRA, dengan cara yang seimbang dan berkesan bagi memacu dan bukan menyekat pertumbuhan pelancongan jangka panjang Malaysia, adalah sangat kritikal.

"Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan untuk berkongsi amalan terbaik seiring dengan pembangunan garis panduan STRA nasional yang akan datang, serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyokong dan mendidik hos kami tentang pengehosan yang bertanggungjawab," katanya. - DagangNews.com