83 penduduk Kampung Papan layak pembelaan, belum terima pampasan

LocalPolitics
29 Mar 2026 • 10:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tony (tengah) dan Arutchelvan (lima dari kanan) memegang kain rentang solidariti semasa Majlis Malam Solidariti Penduduk Kampung Papan pada Sabtu.

KLANG – Kira-kira 83 penduduk Kampung Papan, Pandamaran di sini yang tidak pernah menerima pampasan daripada pemaju berikutan isu perobohan rumah dikenal pasti antara yang layak dan sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya.

Penasihat Jawatankuasa Bertindak Kampung Papan Pandamaran, S Arutchelvan berkata, kumpulan itu perlu diberi keutamaan dalam sebarang penyelesaian isu perumahan yang berlarutan sekian lama.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menyemak dan mengemas kini senarai penerima bersama wakil rakyat serta pihak berkuasa bagi memastikan hanya individu benar-benar layak kekal dalam senarai berkenaan.

"Terdapat dakwaan segelintir individu dalam senarai sudah menerima pampasan atau rumah sebelum ini, namun masih tersenarai sebagai penerima baharu.

"Kita tidak mahu berlaku ketirisan atau ada yang mendapat dua kali manfaat. Jika ada bukti mereka sudah terima, kita sedia keluarkan nama daripada senarai," katanya ketika ditemui semasa Majlis Malam Solidariti Penduduk Kampung Papan di sini pada Sabtu.

Arutchelvan menegaskan, penyelesaian isu itu tidak seharusnya bergantung kepada proses mahkamah semata-mata, sebaliknya boleh diselesaikan melalui pendekatan politik oleh kerajaan negeri.

Katanya, penduduk yang benar-benar layak tidak boleh terus dinafikan hak mereka, apatah lagi selepas sebahagian rumah sebelum ini sudah dirobohkan.

"Keutamaan sekarang ialah memastikan golongan benar-benar layak ini mendapat pembelaan dan penyelesaian segera," tambah beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Tony Leong menggesa kerajaan Selangor membuat keputusan tegas bagi melindungi nasib penduduk terlibat sehingga penyelesaian penempatan semula dimuktamadkan.

Beliau berkata, pihak pemaju sebelum ini ada berjanji menyediakan kira-kira 2.8 hektar bagi tujuan pembangunan semula, namun usaha itu berdepan kekangan kos yang tinggi.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang berusaha mencari pemaju yang mampu melaksanakan projek berkenaan, namun sehingga kini masih belum ada pihak yang benar-benar bersedia mengambil tanggungjawab itu.

"Banyak pemaju tidak mampu kerana kos pembangunan yang tinggi, jadi usaha mencari pemaju masih diteruskan dan kita juga mahu perkara ini dapat disegerakan," jelas beliau.

Tony menegaskan, pendirian beliau jelas iaitu sebarang tindakan terhadap penduduk tidak wajar diteruskan selagi penyelesaian muktamad belum dicapai.

"Tidak boleh ada tindakan yang menjejaskan penduduk kerana kerajaan mesti mempertahankan rakyat,” katanya.

Menurutnya, projek pembangunan itu sebenarnya sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak 2019, namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut termasuk kerja-kerja pemindahan atau pembinaan.

Katanya, sebelum ini pemaju pernah memberi bayangan untuk memulakan proses penempatan semula, namun rancangan itu tidak menjadi kenyataan selepas negara berdepan pandemik Covid-19 serta beberapa perubahan dasar.

"Penduduk ini ada hak mereka dan sepatutnya diberi pampasan atau penyelesaian sewajarnya, jangan sampai berlaku perubahan dasar setiap kali bertukar kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil penduduk, Teoh Ah Guat, 63, berkata, penduduk yang terkesan merancang mengumpul kira-kira RM50,000 pada penganjuran Majlis Malam Solidariti bagi menampung kos guaman susulan isu yang dihadapi mereka ketika ini.

Menurut beliau, langkah mendapatkan khidmat peguam mungkin perlu bagi membolehkan kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Katanya, setakat ini seramai 83 penduduk terlibat dengan 29 daripadanya telah berpindah, manakala selebihnya masih menetap di kawasan berkenaan.

"Kita cuba bantu yang masih tinggal di kampung ini termasuk membina beberapa struktur rumah sementara seperti rumah papan sebagai inisiatif awal," katanya.

Beliau berkata, kutipan dana dibuka kepada orang ramai dengan pengurusan dibuat melalui Persatuan Kampung Papan.

Menurutnya, pelbagai usaha dijalankan termasuk penganjuran meja sumbangan dengan anggaran RM1,000 bagi setiap meja, namun jumlah keseluruhan kutipan masih belum dimuktamadkan.

"Ramai yang bersimpati dan mahu membantu, jadi kita gerakkan usaha kutipan derma ini bagi menampung perbelanjaan termasuk kos mahkamah," tambahnya.

Sinar Harian pada 1 Januari lalu melaporkan, sembilan penduduk Kampung Papan terpaksa memilih untuk tinggal dalam bilik sempit berkeluasan 8X8 kaki persegi sebagai tanda protes selepas kediaman mereka dirobohkan pihak pemaju pada November tahun lalu.

Keadaan itu memaksa penduduk terbabit membina deretan sembilan unit menggunakan dinding papan lapis hasil gotong-royong sebagai tempat berteduh.

Pada 23 Oktober tahun lalu, kira-kira 500 penduduk kampung itu mendesak campur tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung notis mahkamah yang memaklumkan rumah mereka bakal dirobohkan.

Rata-rata penduduk yang mula meneroka kawasan itu sejak 50 tahun lalu terkejut menerima arahan pengusiran yang disifatkan terlalu mengejut.