
SEMPORNA: Sebanyak 850 liter petrol bernilai RM3,714.50 dirampas dalam dua kes berasingan di perairan sini pada Jumaat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna berkata kedua-dua kes itu diserahkan kepadanya oleh Pasukan Polis Marin.
Kes pertama membabitkan 300 liter petrol yang diisi dalam 12 gelen di dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan enjin di perairan berhampiran Kampung Halo.
Semasa pemeriksaan, individu yang dipercayai terlibat dalam kes itu melarikan diri ke kawasan paya bakau, meninggalkan bot dan barangan berkenaan.
Kes kedua membabitkan 550 liter petrol yang diisi dalam 22 gelen di dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan enjin di kawasan paya bakau di Kampung Tobok Tobok.
Individu yang dipercayai terlibat dalam kes itu dipercayai melarikan diri ke kawasan paya bakau, meninggalkan bot dan barangan berkenaan.
Susulan serahan itu, KPDN Semporna berkata pihaknya membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan barangan kawalan dan bersubsidi digesa menyalurkan aduan kepada kementerian menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, pusat panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.





