KLANG – Radius pencarian bagi mengesan seorang lagi pemancing yang masih hilang di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam pada Sabtu akan ditentukan berdasarkan keadaan pasang surut air dan arah angin.
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Leftenan Nur Affiq Nor Hisham berkata, penentuan kawasan pencarian bagi operasi hari berikutnya akan dibuat selepas meneliti keadaan cuaca dan pergerakan air pada malam ini.
Menurutnya, setakat jam 5.42 petang Jumaat, pihaknya masih belum menerima sebarang petunjuk mengenai mangsa terakhir yang hilang.
"Radius kita akan bergantung kepada keadaan pasang surut air dan juga arah angin, kita akan tentukan malam ini untuk tengok keadaan tersebut bagi pencarian esok.
"Angin boleh menolak mangsa ke arah tertentu, jadi kita akan pastikan kawasan pencarian ditetapkan dengan betul,” katanya di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Nelayan Sementa, di sini pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong di perairan Klang pada Ahad lalu dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.
Kejadian berlaku ketika keadaan cuaca dilaporkan ribut dan ombak kuat melanda kawasan perairan berkenaan.
Operasi SAR digerakkan selepas satu laporan diterima polis kira-kira jam 2.30 pagi, Isnin, apabila kumpulan pemancing itu belum kembali selepas keluar dari Jeti Sementa, Sungai Kapar, Klang.
Siasatan awal mendapati kumpulan pemancing termasuk seorang tekong bot itu keluar dari Jeti Sementa pada jam 8.20 pagi, Ahad lalu dengan menaiki sebuah bot fiber dan dijangka kembali pada sebelah petang hari yang sama.
Sementara itu, katanya, Maritim Malaysia turut mendapatkan maklumat daripada Persatuan Nelayan yang keluar ke laut pada petang Jumaat, namun mereka tidak menemui sebarang petanda.
Katanya, kapal KM Nusa juga tidak melaporkan sebarang penampakan di sekitar kawasan pencarian.
"Bagi aset udara yang melaksanakan pencarian turut tidak menemui mangsa berikutan keadaan jerebu yang mengehadkan penglihatan.
"Pesawat itu naik sebelum menangguhkan pencarian sekitar tengah hari kerana keadaan jerebu," katanya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat dijadualkan ditamatkan pada jam 7 malam sebelum disambung semula pada jam 7 pagi Sabtu.
Tambahnya, pencarian masih meliputi kawasan seluas 105 batu nautika persegi.






