
PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki dan merampas 62.14 gram syabu disyaki bernilai kira-kira RM9,400 dalam dua operasi berasingan pada Jumaat dan Sabtu.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang ditahan di luar sebuah rumah kira-kira jam 2.50 petang Jumaat.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 20 paket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki syabu seberat 56.91 gram.
“Dadah itu dianggarkan bernilai RM8,500,” katanya dalam satu kenyataan.
Sammy berkata saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif methamphetamine.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi kedua kira-kira jam 12.10 tengah malam Sabtu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemukan empat paket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki syabu seberat 5.23 gram dan dianggarkan bernilai RM900,” katanya.
Sammy memaklumkan kes kedua disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui kegiatan jenayah atau berkaitan dadah.






