SHAH ALAM - Penempatan etnik Rohingya berselerak dan dipercayai berada di hampir seluruh daerah di Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, di negeri ini, tidak dinafikan memang terdapat banyak penempatan warga asing termasuklah Rohingya.
Menurutnya, setakat maklumat diterima dan diproses, polis percaya hampir seluruh daerah ada penempatan Rohingya, namun jumlahnya tidak dapat dipastikan sebab ia dalam keadaan berselerak.
"Tindakan PDRM sentiasa berterusan sebelum ini dan bukan apabila timbul isu ini.
"Pada tahun 2025 sahaja, kita melaksanakan operasi bagi kesan dan tangkap pendatang serta pelarian terutama Rohingya apabila terlibat dalam kes jenayah.
"Sebanyak 140 kes telah dicatatkan dengan tangkapan 227 orang. Bagi tahun ini setakat Mei, didapati 52 kes telah dikesan dengan 73 orang telah ditangkap," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.
Beliau berkata, mereka yang ditahan ini dalam pelbagai kes jenayah termasuk kekerasan dan harta benda.
Bagaimanapun, tambah Shazeli, setakat ini, tidak dikesan etnik terbabit dalam penglibatan kongsi gelap tetapi melibatkan komuniti serta rakan sejenayah sesama mereka.
"Ada yang dikesan hadir tanpa berdaftar, identiti dan kedudukan mereka tidak ketahui. Ini adalah sesuatu membimbangkan kerana menyukarkan proses pencarian atau pengesanan sekiranya berlaku insiden atau kejadian (jenayah).
"Kita sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam bertukar maklumat dan melaksanakan operasi bersepadu. Pada tahun lepas sahaja enam operasi bersepadu dilaksanakan pada tahun lalu," ujarnya.
Berkenaan tindakan ke atas penempatan haram, Shazeli berkata, perbincangan telah dan juga sedang dijalankan dengan PBT bagi mengenal pasti sama ada ia sah atau pun tidak.
"Sekiranya sah maka tidak menjadi masalah, namun sekiranya penempatan haram maka kita akan menyarankan pada pihak-pihak berwajib untuk mengambil tindakan sepatutnya termasuklah perobohan atau pun penempatan semula di satu kawasan yang senang dipantau," ujarnya.
Tegasnya, PDRM sentiasa mengambil tindakan berterusan dan konsisten serta tidak bergantung kepada sentimen semasa.






