
PETALING JAYA: Sebanyak 9,257 unit produk kesihatan, kosmetik dan barangan berjenama disyaki tiruan bernilai RM765,750 dirampas dalam serbuan di sebuah premis syarikat kurier di ibu negara, semalam.
Rampasan dilakukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman kira-kira pukul 10.30 pagi.
Operasi bersepadu itu dilakukan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada rampasan pelbagai produk yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM765,750.
Katanya, dua lelaki warga asing berusia 23 dan 29 tahun dipercayai bekerja sebagai pekerja pembungkusan di premis berkenaan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.
“Premis syarikat kurier dan logistik itu disyaki digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk kesihatan, kosmetik serta barangan berjenama dipercayai tidak mematuhi keperluan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaki berkata, daripada jumlah keseluruhan rampasan itu, produk kesihatan dan kosmetik dianggarkan bernilai RM734,000 dan diambil tindakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.
Manakala, barangan berjenama disyaki tiruan bernilai RM31,750 diambil tindakan oleh KPDN.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1) (A), Peraturan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan 18A dan Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.
“Kedua-dua lelaki warga asing itu pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, katanya, sebanyak 286 serbuan di seluruh negara dilakukan dan seramai 467 individu ditahan sejak 1 Januari lalu sehingga semalam.
Katanya, tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan, termasuk penyeludupan barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta kegiatan berkaitan sisa elektronik (e-waste).
“Bagi tempoh sama, nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan dianggarkan berjumlah RM335,963,935.42,” katanya. – UTUSAN
The post 9,257 produk kosmetik, barang berjenama tiruan dirampas appeared first on Utusan Malaysia.




