
BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya melupuskan sebanyak 58,941 unit barangan berjenama tiruan bernilai hampir RM3.15 juta yang dirampas untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, kesemua barang rampasan itu disita atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Beliau berkata, antara barangan tersebut termasuk pelbagai jenama pakaian, beg dan aksesori wanita, alat gantian kenderaan, aksesori motosikal, alatan jentera, produk makanan, produk penjagaan kesihatan, aksesori lain serta peranti elektronik.
“Kesemua barangan ini juga telah selesai melalui proses pendakwaan dan pengkompaunan sepanjang tempoh berkenaan iaitu antara 1 Januari sehingga 29 September (hari ini),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Pelupusan Barang Rampasan KPDN Pulau Pinang di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN di Jalan Bukit Minyak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 58,805 premis telah diperiksa sepanjang tahun ini dengan 761 daripadanya telah diambil tindakan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM4,847,055.33.
“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak RM 591,100 nilai kompaun telah dikeluarkan melibatkan 565 kes manakala 12 kes pula melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM 94,500,” ujar beliau.
Sementara itu, Jegan berkata, pelaksanaan pelupusan serta pelucutan hak barang kes itu merupakan sebahagian daripada proses penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh KPDN Pulau Pinang secara teratur dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuasa.
Beliau berkata, ia mencerminkan pengurusan barang kes yang dilaksanakan secara sistematik, telus, berintegriti setelah suatu kes selesai melalui proses perundangan yang telah ditetapkan.
“Dalam hal ini, KPDN Pulau Pinang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan, khususnya yang melibatkan penyelewengan barang kawalan, perdagangan barang tiruan, ketidakpatuhan berkaitan harga serta apa-apa kesalahan yang lain boleh menjejaskan kepentingan pengguna,” katanya.-UTUSAN
The post KPDN lupus 58,941 barang berjenama tiruan bernilai lebih RM3 juta appeared first on Utusan Malaysia.






