
KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,257 unit produk kesihatan, kosmetik dan barangan berjenama yang disyaki tiruan bernilai RM765,750 dirampas dalam Op Taring Dosej di sebuah premis syarikat kurier dan logistik, di sini, semalam.
Operasi bermula pukul 10.50 pagi itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Kuala Lumpur dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya.
Komander WCB/ PSK JKDNKA, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di sebuah premis bagi mengesan aktiviti penyimpanan serta pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing berusia 23 dan 29 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pekerja pembungkusan di premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan 9,130 unit produk kesihatan dan kosmetik pelbagai jenama yang disyaki tidak berdaftar, selain 127 unit barangan berjenama Adidas, Coach dan Tory Burch yang disyaki menggunakan cap dagangan tiruan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, produk kesihatan dan kosmetik serta barangan berjenama yang dirampas masing-masing dianggarkan bernilai RM734,000 dan RM31,750.
“Kes produk kesihatan dan kosmetik disiasat di bawah Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, manakala kes barangan berjenama disiasat mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.
“Dua lelaki warga asing itu pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sepanjang 1 Januari hingga 26 Oktober lalu, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melaksanakan 286 serbuan di seluruh negara dan menahan 467 individu atas pelbagai kesalahan.
Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh itu dianggarkan RM335.96 juta. – KOSMO! ONLINE
The post Produk kesihatan, kosmetik tiruan bernilai RM765,750 dirampas appeared first on Kosmo Online.




