9,515 pelarian Rohingya di seluruh Hulu Langat

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 11:28 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Rohingya Hulu Langat

SHAH ALAM: Seramai 9,515 orang pelarian etnik Rohingya dikesan dalam taburan penempatannya  di keseluruhan Hulu Langat yang melibatkan kawasan seperti Beranang, Kajang,  Ampang dan Cheras.

Malah, taburan penempatannya juga dilihat menaik dari luar ke kawasan bandar berdasarkan pengemaskinian maklumat sehingga Julai lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kawasan-kawasan di luar bandar seperti di Beranang penempatan yang menempatkan etnik itu antara 20 hingga 30 orang dan jumlahnya tidak begitu besar.

“Apabila masuk di perbandaran seperti Kajang, jumlahnya meningkat sehingga ratusan orang seperti di Kampung Sungai Sikamat ada 400 orang, tetapi di kawasan-kawasan tertentu seperti Taman Kantan Permai hanya sekitar 50 orang.

“Jumlah itu bertambah lagi, apabila melihat kawasan bandar lain seperti di Cheras, kehadiran di sesuatu kawasan itu di antara 200 hingga 300. Di Ampang, jumlah itu melipat kali ganda mencecah ribuan orang seperti di Tasik Tambahan hampir 2,000 orang.

“Di Pandan Mewah hampir 1,500 orang dan tempat seperti Bandar Baru Ampang, Kosas dan sebagainya sekitar 300 orang,” katanya dalam sesi soal jawab pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Dusun Tua – BN), Datuk Johan Abd. Aziz berhubung masalah PATI dan etnik itu di daerah tersebut.

Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebahagian binaan bangunan yang menjadi penempatan komuniti Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, dirobohkan dan proses tersebut dijangka mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Amirudin memberitahu, ketika ini kerajaan negeri melaksanakan tindakan secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan terutama dari Kerajaan Persekutuan apabila melibatkan penyelesaian yang kompleks dengan penguatkuasaan pelbagai undang-undang.

“Kerajaan negeri menyedari isu pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk komuniti pelarian merupakan isu yang kompleks melibatkan pelbagai bidang kuasa. Oleh itu, kerjasama erat antara negeri, agensi persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan di peringkat daerah harus terus diperkukuhkan.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan pendekatan yang dilaksanakan mengambil aspek penguatkuasaan, keselamatan, ketenteraman awam dan penempatan PATI di Hulu Langat akan ditangani secara teratur dan berkesan,” jelasnya. – UTUSAN

The post 9,515 pelarian Rohingya di seluruh Hulu Langat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved