
SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 9,515 etnik Rohingya dikenal pasti menetap di beberapa lokasi di daerah Hulu Langat sehingga Julai hasil semakan dan kajian yang dilaksanakan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bersama agensi berkaitan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memandang serius kebimbangan orang ramai berhubung penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk komuniti etnik Rohingya di beberapa kawasan di daerah berkenaan.
Beliau berkata kawasan seperti Hulu Langat dan Beranang merekodkan sekitar 20 hingga 30 penghuni bagi setiap lokasi, manakala kawasan lebih urban seperti Kajang mencatatkan jumlah lebih tinggi.
Menurutnya, di Kampung Sungai Sikamat, Kajang, dianggarkan terdapat kira-kira 400 etnik Rohingya, manakala Kampung Kantan Permai merekodkan sekitar 50 orang.
“Di kawasan Cheras pula, setiap lokaliti menempatkan antara 200 hingga 300 orang, manakala Ampang merekodkan jumlah paling tinggi dengan hampir 2,000 orang di Tasik Tambahan dan sekitar 1,500 orang di Pandan Mewah.
“Selain itu, kawasan Taman Bandar Baru Ampang dan Kosas masing-masing merekodkan kira-kira 300 penghuni. Secara keseluruhan, rekod yang diperoleh daripada jabatan berkaitan menunjukkan terdapat 9,515 etnik Rohingya di daerah Hulu Langat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz yang ingin mengetahui perkembangan dan jumlah pendatang asing serta Rohingya di Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Amirudin menambah Kerajaan Negeri melaksanakan tindakan penyelarasan melalui Jawatankuasa Keselamatan Daerah Hulu Langat membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi menangani isu penempatan pelarian Rohingya.
“Antara langkah yang dilaksanakan ialah pemantauan dan pengemaskinian maklumat penempatan yang direkodkan sehingga Julai lalu, selain operasi penguatkuasaan bersepadu bersama Jabatan Imigresen, PDRM dan PBT.
“Jawatankuasa Keselamatan Daerah turut berfungsi sebagai platform penyelarasan antara agensi bagi perkongsian maklumat serta pelaksanaan operasi penguatkuasaan.
“Pada masa sama, tindakan terhadap penempatan atau mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang akan dilaksanakan oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa mengikut peruntukan sedia ada,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Amirudin mengakui isu membabitkan komuniti pelarian adalah kompleks dan memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan, PBT serta agensi penguat kuasa.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus memastikan pendekatan yang diambil memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan, keselamatan, ketenteraman awam dan pengurusan penempatan PATI di Hulu Langat secara teratur serta berkesan,” jelasnya.






