
PETALING JAYA: Polis menafikan dakwaan 113 pelarian yang majoritinya etnik Rohingya ditahan selepas kumpulan itu berhimpun di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling pada 29 Julai lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata sebaliknya kesemua mereka dipindahkan sementara ke Dataran Wira, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, bagi tujuan dokumentasi.
“Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan selepas semua proses dokumentasi selesai. Sudah pasti kita tidak sewenang-wenangnya menahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Fadil berkata demikian sebagai mengulas penularan laporan sebuah portal antarabangsa mengenai penahanan semua individu terbabit.
Laporan itu turut menyatakan kebimbangan UNHCR terhadap laporan berbaur kebencian, penyebaran maklumat palsu dan naratif tidak berperikemanusiaan yang menyasarkan etnik Rohingya serta pelarian lain.
Menurut agensi berkenaan, perkara tersebut berpotensi mencetuskan gangguan, diskriminasi dan layanan tidak adil terhadap golongan itu dalam kehidupan seharian. – UTUSAN
The post 113 pelarian bukan ditahan sebaliknya dipindahkan bagi dokumentasi – Ketua Polis KL appeared first on Utusan Malaysia.






