
KUALA LUMPUR - Sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) disahkan maut dalam satu nahas pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan itu dipercayai berlaku sekitar jam 8.30 pagi.
Menurut beliau, trak FRU dinaiki 15 anggota tersebut bertembung dengan sebuah lori yang sarat dengan muatan batu.
Getaran difahamkan, dua lagi mangsa disahkan berada dalam keadaan kritikal dan operasi menyelamat masih berjalan di lokasi.
Kesemua mangsa difahamkan dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
Menurut sumber, semua anggota FRU itu sedang dalam perjalanan ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas untuk Op Chariot di Teluk Intan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tidak ketinggalan menzahirkan ucapan takziah kepada semua waris dan ahli keluarga mangsa.
Beliau memberi jaminan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kebajikan keluarga mangsa diberi perhatian sepenuhnya.
"Jasa dan pengorbanan mereka amat dihargai, kemalangan berlaku selepas mereka selesai melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.
“PDRM akan memastikan kebajikan keluarga anggota yang terkorban diberi perhatian sebaiknya," katanya dalam kenyataan.
Getaran diberitahu, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. - Getaran, 13 Mei 2025

