9 Lelaki Sudah Ditahan, Ini Punca Pemandu Myvi Dikejar Geng Motosikal

Entertainment
30 Sep 2025 • 4:04 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seramai sembilan lelaki berusia antara 13 hingga 21 tahun ditahan di sekitar Puchong dan Shah Alam bagi membantu siasatan insiden tular sekumpulan penunggang motosikal mengejar dan mengepung sebuah kereta Myvi berhampiran Plaza Tol Batu 13.

Menurut laporan, polis memaklumkan enam daripada suspek yang ditahan adalah bawah umur dan kesemua direman selama empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 279 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pura-pura telefon polis

Mengulas mengenai kejadian yang berlaku pada awal pagi Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pengadu lelaki berusia 52 tahun pada mulanya keluar dari kenderaan yang dihentikan di bahu jalan dengan tujuan berlakon seolah-olah mahu menghubungi polis menggunakan telefon.

“Namun, pengadu tidak membuat panggilan dan hanya berpura-pura seakan-akan ingin menelefon. Ketika itu, salah seorang daripada kumpulan penunggang motosikal terbabit bertanya kepada rakan pengadu sama ada mereka anggota polis.

“Bimbang keselamatan, mangsa terus masuk semula ke dalam keretanya dan beredar, namun kumpulan itu bertindak mengejar serta mengarahkan dia berhenti,” katanya.

image is not available

Disebabkan pengadu panik, mangsa tidak berhenti dan keretanya ditendang beberapa kali sehingga mengalami kerosakan.

Dalam rakaman tular insiden terbabit, memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengekori kereta mangsa secara berbahaya sebelum salah seorang daripadanya menendang kenderaan tersebut.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.