
PETALING JAYA – Seramai sembilan pelajar daripada enam institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Numbak, Menggatal, Sabah pada 30 Ogos lalu menerima bantuan RM3,000 setiap seorang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sumbangan menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS) itu merupakan bantuan awal kepada pelajar yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
“Musibah ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan harta benda, malah memberi kesan emosi kepada pelajar dan keluarga.
“Kehadiran kami untuk memastikan mereka tidak berasa bersendirian ketika melalui saat yang sukar ini,” katanya ketika menziarahi keluarga pelajar terbabit hari ini.
Pelajar tersebut masing-masing menuntut di Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah (UMS), North Borneo University College, UNITAR Kota Kinabalu dan Goon International University College.
Menurut Zambry, IPT terlibat turut menyediakan bantuan tambahan termasuk penginapan, keperluan pembelajaran, sokongan kewangan dan khidmat psikososial mengikut keperluan.
Dalam kunjungan sama, beliau turut menziarahi dua bakal mahasiswa daripada keluarga berdepan kekangan kewangan yang akan melanjutkan pengajian di UMS dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
KPT dan YPS menyediakan bantuan kewangan kepada kedua-dua pelajar tersebut, manakala UMS dan UPM membantu urusan persediaan serta pendaftaran.
“Jangan biarkan masalah kewangan, kos perjalanan atau kekurangan persediaan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan peluang melanjutkan pengajian,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 9 pelajar terjejas kebakaran terima bantuan RM3,000 appeared first on Kosmo Online.






