Institusi Pondok: Pelajar Perlu Laluan Lebih Luas, Terima Pendidikan Arus Perdana, Tinggi - PM

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 4:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Institusi Pondok: Pelajar Perlu Laluan Lebih Luas, Terima Pendidikan Arus Perdana, Tinggi - PM

PUTRAJAYA - Pelajar institusi pondok perlu diberikan peluang lebih luas untuk melanjutkan pengajian dalam sistem pendidikan arus perdana dan ke peringkat pengajian tinggi, tanpa mengetepikan pengajian Islam tradisional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha memperkukuh sistem pendidikan pondok tidak seharusnya menyebabkan pelajar hanya tertumpu kepada bidang tradisional, sebaliknya perlu disediakan dengan pendedahan pendidikan yang membolehkan mereka meneruskan pengajian dalam sistem pendidikan awam.

“Jika tidak, akan wujud dua aliran. Satu aliran pondok yang bersifat tradisional dan satu lagi aliran ini, sehingga berlaku pertembungan antara kedua-dua disiplin,” katanya ketika berucap pada Muzakarah Nasional Ulama Turath 2026 di Putrajaya, hari ini.

Jelas Perdana Menteri, institusi pondok merupakan antara bentuk pendidikan agama Islam tradisional di Malaysia yang secara sejarahnya berpusat kepada seorang guru agama.

“Pelajar mempelajari kitab dan pelbagai bidang ilmu Islam, selain lazimnya menetap di penempatan yang disediakan berhampiran kediaman atau tempat pengajian guru berkenaan,” katanya.

Istilah ‘pondok’ merujuk kepada pondok kecil atau tempat tinggal yang secara tradisinya disediakan untuk pelajar.

Anwar berkata, pendekatan dirangka adalah untuk memperkukuh pendidikan pondok sehingga ke tahap tertinggi, selain memastikan pelajarnya mempunyai asas pendidikan yang membolehkan mereka memasuki sistem pendidikan awam dan arus perdana.

Bagaimanapun, beliau berkata, melanjutkan pengajian ke universiti tidak semestinya menjadi matlamat setiap pelajar pondok, namun laluan ke pendidikan tinggi perlu tersedia bagi mereka yang berminat.

“Pendekatan itu juga dapat memastikan pendidikan pondok terus seiring dengan perkembangan pendidikan semasa dan tidak terpisah daripada sistem pendidikan yang lebih luas.

“Kerajaan juga menggalakkan pakar serta pihak berkaitan meneruskan usaha merangka bentuk pendidikan yang sesuai bagi memperkukuh institusi pondok,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan akan memberikan bantuan mengikut kemampuan, bagi memastikan usaha memperkukuh sistem berkenaan dapat dilaksanakan secara berperingkat dan mempunyai hala tuju yang jelas.

Beliau memberi jaminan, kerajaan juga bersedia membantu memilih beberapa institusi pondok sebagai institusi perintis bagi memperkenalkan bidang pengajian dan pengkhususan baharu berasaskan manhaj tarbiyah serta disiplin yang dicadangkan oleh ulama.

“Apa yang dicadangkan di sini dan saya telah terima ialah kerajaan membantu dengan segera melalui pemilihan beberapa institusi pondok yang boleh memulakan tradisi pembelajaran baharu seperti yang dicadangkan serta membuat pengkhususan berdasarkan manhaj tarbiyah dan disiplin,” katanya. - Getaran, 19 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved