
PARIT BUNTAR: Seramai sembilan kru warga Myanmar ditahan selepas tiga bot tunda Kelas B yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kurau di perairan Pulau Pasir Hitam, di sini semalam.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, tangkapan dilakukan susulan aduan dan maklumat awam berhubung aktiviti bot terbabit di kawasan perairan berkenaan.
Katanya, sepasukan anggota menggunakan bot PERKASA 1239 menjalankan pemeriksaan sebelum menahan ketiga-tiga bot kira-kira pukul 1 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati setiap bot dikendalikan tiga kru warga Myanmar.
“Bot pertama dan kedua disyaki menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak menjalankan aktiviti secara usaha sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bot kedua turut gagal mempamerkan lesen bot, manakala lesen bot ketiga didapati tamat tempoh.
Kesemua kru pula disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Kesemua bot dan kru dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN
The post 9 warga Myanmar ditahan kesalahan maritim, tiada dokumen pengenalan diri, permit kerja sah appeared first on Utusan Malaysia.






