
KUALA SELANGOR – Sebanyak 90 kes penyakit berkaitan cuaca panas dengan majoritinya kelesuan haba direkodkan di seluruh negara setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, statitistik itu diperoleh pihaknya sepanjang tempoh Minggu Epidemiologi (ME) ke-33.
Menurutnya, kelesuan haba dilaporkan tertinggi iaitu 71 kes diikuti 14 kes strok haba, manakala lima lagi berkaitan kekejangan haba.
“Berdasarkan statistik ME ke-30 hingga 32, jumlah kes yang dilaporkan masing-masing antara dua hingga tiga.
“Namun, statistik ME terbaharu sehingga hari ini merekodkan sembilan kes terutama berkaitan strok haba,” katanya selepas merasmikan Wellness Hub Kuala Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemerhatian mendapati lapan daripada kes strok haba yang dilaporkan melibatkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor.
Jelasnya, daripada jumlah itu, hanya satu kes atau individu mendapatkan rawatan lanjut di wad. – KOSMO! ONLINE
The post 90 kes penyakit cuaca panas direkodkan appeared first on Kosmo Digital.





