90 tukun tiruan bantu tingkat hasil nelayan Papar

LocalEnvironment
24 Sep 2026 • 4:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

90 tukun tiruan bantu tingkat hasil nelayan Papar

PAPAR: Sebanyak 90 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Papar, memberi harapan baharu kepada nelayan kecil tempatan untuk meningkatkan hasil tangkapan, sekali gus membantu menambah pendapatan mereka.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata projek berkenaan juga mampu memperkaya sumber perikanan serta menyediakan habitat dan kawasan pembiakan baharu bagi hidupan laut di perairan berkenaan.

Katanya, pelaksanaan projek itu amat bermakna kerana ia antara perkara yang pernah dikemukakan dan disusulinya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Sabah.

Armizan“Saya telah menulis surat bertarikh 21 Januari 2026 kepada Menteri KPKM untuk mempertimbangkan permohonan peruntukan bagi melaksanakan projek ini.

“Alhamdulillah, sebanyak 90 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di sepanjang perairan Papar, berhampiran kawasan pesisir beberapa kampung termasuk Kampung Kuala, Kampung Pengalat Besar dan Kampung Beringgis,” katanya dalam satu kenyataan sempena inisiatif di bawah program Melabuh Modul Ladang Ikan di Laut (LIDL) itu, di sini, Rabu.   Beliau diwakili Setiausaha Sulitnya, Datuk Roslie Ibrahim.

Mengulas lanjut Armizan berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Sabah, projek tukun tiruan terakhir di perairan Papar dilaksanakan pada 2010, membabitkan 18 unit tukun dan komuniti nelayan di lima buah kampung.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, selepas lebih 15 tahun, terdapat kemungkinan tukun berkenaan sudah tenggelam atau tertimbus dan tidak lagi berfungsi secara optimum.

“Keadaan inilah yang turut saya bangkitkan dalam surat permohonan bagi pelaksanaan projek tukun baharu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai jenis tukun tiruan disediakan mengikut kesesuaian sumber marin, termasuk tukun ikan, sotong dan udang kara.

Menurutnya, selain menyediakan habitat serta kawasan pembiakan hidupan laut, kemudahan itu diharapkan dapat mewujudkan kawasan tangkapan lebih produktif untuk dimanfaatkan nelayan dari kampung sekitar.

“Terima kasih kepada LKIM kerana memberikan perhatian dan merealisasikan usaha ini di perairan Papar, semoga manfaatnya dapat dirasai komuniti nelayan setempat serta menyumbang kepada kelestarian khazanah laut kita untuk jangka panjang,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved